Perayaan Gawai mampu menyatukan kaum Dayak

0

NGO dan kumpulan pemikir berharap penyatuan mampu kukuh hubungan demi pembangunan, kebaikan bersama

// Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Kumpulan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Dayak menaruh harapan tinggi agar perayaan Gawai Dayak tahun ini mampu menyatu-kan masyarakat Dayak bukan sahaja dalam malah luar negeri menerusi dunia siber tanpa sempadan.

Pemimpin NGO dan kum-pulan pemikir berharap pe-nyatuan masyarakat Dayak bukan sahaja di luar bandar dan bandar malah dengan mereka di luar negeri, mampu mengukuhkan hubungan demi pembangunan dan kebaikan bersama.

Sempena perayaan Gawai Dayak tahun ini, NGO Dayak turut berharap masyarakat Dayak membuka lembaran baharu membawa lebih ba-nyak kemakmuran, manfaat dan kegemilangan dengan peluang kerja, ekonomi dan pendidikan sama rata.

Menurut mereka, Gawai Dayak wajar disambut se-genap lapisan kaum Dayak dan diraikan dengan penuh kesederhanaan.

Presiden Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) Kapten (B) Collin Imran berkata Gawai Dayak menandakan masyarakat Dayak merupakan kaum besar dan amat penting di negeri ini.

Justeru adalah satu penghormatan kepada kaum Dayak apabila Hari Gawai Dayak diiktiraf dan seterusnya dijadikan cuti umum selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.

Katanya, pandangan se-gelintir masyarakat Dayak itu sendiri bahawa Hari Gawai diraikan mereka masih berpegang kepada adat tradisi dan kepercayaan lama adalah tidak tepat.

“Ia adalah perayaan suku kaum sejak turun-temurun, tanpa mengira kepercayaan dan agama kerana sesuatu  yang dirai bangsa kita sebagai menandakan permulaan tahun baharu kaum Dayak seperti juga masyarakat Cina meraikan Tahun Baharu Cina.

“Di kesempatan ini, saya bagi pihak PEDAS mengucapkan Selamat Gawai Dayak kepada semua masyarakat Dayak. Jagalah nama kaum Dayak dengan baik kerana kita amat dikenali sebagai bangsa yang penuh kesantunan,” katanya.

Presiden Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) Vicky Gulin Shandom berkata pertubuhan itu menaruh harapan besar agar masyarakat Dayak semakin gigih memajukan diri mereka dalam bidang ekonomi dan GADS menerima sebarang bentuk idea ke arah membantu melonjakkan ekonomi kaum Dayak.

“Gawai Dayak 2016 ini diharap mampu meyakinkan kita betapa pentingnya bersatu padu, bekerjasama, bertimbang rasa dan bergerak seiringan mencapai kejayaan dalam semua bidang diceburi di samping mempertahan hak yang sepatutnya kita miliki.

“Sehubungan itu, GADS mengucapkan Selamat Gawai Dayak kepada semua kaum Dayak di seluruh dunia,” katanya kepada di sini, semalam.

Pengasas kumpulan pemikir Dayak di laman bual sosial, ‘Whatsapp – Dayak Think Tank Group’ (DTTG), Willie Henry Majang berharap masyarakat Dayak bersatu dan seterusnya membangunkan idea serta pandangan bernas untuk mengangkat martabat bangsa, sosio-ekonomi, pendidikan serta taraf hidup kaum Dayak.

Katanya, perpaduan kaum Dayak dalam ilmu pengetahuan juga mampu melonjak-kan martabat masyarakat Dayak yang terdiri daripada pelbagai etnik untuk bersatu dan membangun serta maju ke hadapan setanding dengan bangsa lain di negara ini.

Justeru, beliau mahu melihat DTTG turut menyumbang peranan ke arah menzahirkan idea bernas, pandangan dan ilmu pengetahuan pada diri masing-masing demi kebaikan dan kemajuan kaum Dayak termasuk dari segi ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan intelektual.

“Bangsa yang mampu menyatukan suku kaumnya adalah bangsa yang ‘memegang’ negaranya demi mempertahan budaya, adat dan tradisinya agar terus kekal dan mampu diwarisi dan dinikmati oleh anak cucunya pada kemudian hari.

“Justeru, DTTG ditubuh-kan untuk menyatukan semua idea, pandangan bernas golongan berpengetahuan, profesional dan intelektual Dayak bagi membangunkan masyarakat Dayak di negeri ini dalam pelbagai aspek,” katanya.

Dengan landasan itu, masyarakat Dayak menerima dan seterusnya belajar memperbaiki kelemahan diri bagi meningkatkan standard hidup kaum Dayak dan mengukuhkan hala tuju mereka dalam bidang diceburi masing-masing.

Katanya, DTTG turut mengucapkan Selamat Gawai Dayak kepada masyarakat Dayak di negeri ini dan luar negeri dengan harapan kebangkitan generasi baharu membawa kepada perubahan baharu.