Tumpu titik persamaan

0

Berusahalah cari kesepakatan demi kebaikan seluruh masyarakat Dayak: KM

// Oleh Patricia Gari //

Adenan

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu masyarakat Dayak melupakan perbezaan dan mencari persamaan demi kebaikan kaum itu.

“Tidaklah menjadi kesalahan berbeza pendapat tetapi titik persamaan haruslah menjadi suatu yang perlu diusahakan pada setiap masa untuk kebaikan keseluruhan masyarakat Dayak,” katanya dalam Perutusan Gawai Dayak 2016.

Beliau percaya keinginan mendapat titik persamaan demi kebaikan Dayak dapat dilihat menerusi undi pengundi luar bandar yang memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi luar bandar pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) baru-baru ini.

Tambahnya keinginan majoriti rakyat dikenal pasti dengan kemajuan, pembangunan dan keharmonian sosial faktor mendorong mereka memberi kepercayaan penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin beliau.

“Saya mesti berterima kasih kepada komuniti Dayak kerana memainkan peranan memberi saya mandat besar untuk memimpin kerajaan negeri Sarawak lima tahun lagi,” ujarnya.

Adenan berkata, tidak dapat dinafikan komuniti Dayak telah mencapai tahap kejayaan tertentu dalam bidang pendidikan, perdagangan dan industri sejak 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, tahap pencapaian itu belum mencukupi kerana masih ada ruang untuk penambahbaikan dan masalah kemiskinan perlu diselesaikan.

Menurut Adenan, terdapat rumah panjang dan kampung yang moden setanding di bandar tetapi masih ada yang dalam keadaan agak uzur dan tanpa kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih serta akses jalan.

“Kerajaan sedia maklum jurang ini dan dalam tempoh lima tahun akan datang, fokus kita ialah menyediakan lebih banyak infrastruktur bagi memperkukuhkan perhubungan serta menyediakan lebih banyak kemudahan bagi meningkatkan kualiti hidup di luar bandar.

“Saya yakin, kabinet negeri yang baharu akan memastikan kita dapat menunaikan janji-janji menghubungkan kawasan luar bandar dan menyediakan lebih banyak fasiliti awam kepada komuniti di situ,” ujarnya.

Adenan juga berharap pembangunan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LRPB) akan membuka banyak kawasan baharu di sepanjang lebuh raya itu apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun dari sekarang.

Beliau turut menjangkakan projek bernilai sekitar RM16 bilion itu akan memberi manfaat kepada Sarawak dalam jangka panjang kerana ia mampu menjana ekonomi lapan kali ganda jumlah pelaburan.

“Perkara paling penting kita mahu mendapatkan semua kuasa dipersetujui menurut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 serta Pengesyoran dan Laporan IGC diberikan semula kepada Sarawak.

“Walaupun kita sudah mencapai sebahagian daripadanya dalam aspek pemerkasaan pentadbiran, proses ini sudah tentu rumit dan mengambil masa sebelum kita mendapat semula semua kuasa ini,” jelasnya.

Menurut Adenan, Sarawak mahukan semula kuasa itu kerana percaya pada tahap tertentu autonomi akan memberi ruang kepada negeri ini membuat keputusan sendiri bagi mempercepatkan pembangunan.

Katanya, dengan izin Tuhan dan sokongan tidak berbelah bahagi, rakyat Sarawak akan mendapat semua autonomi itu menerusi proses penurunan kuasa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan berkata beliau tidak akan membiarkan pihak tertentu cuba memecah belah rakyat Sarawak.

“Walaupun kita sentiasa menikmati suasana aman damai, saya mengingatkan kita supaya sentiasa berwaspada terhadap elemen-elemen dari luar yang cuba menyemai bibit-bibit kebencian antara kaum dan penganut pelbagai agama,” tegasnya.