Tiga maut, seorang masih koma dalam nahas di Mukah

0
REMUK: Kereta yang merempuh motosikal dinaiki empat beranak dalam kejadian di Jambatan Kuning, Mukah.

REMUK: Kereta yang merempuh motosikal dinaiki empat beranak dalam kejadian di Jambatan Kuning, Mukah.

SIBU: Sepasang suami isteri dan anak berusia tujuh tahun terkorban, manakala seorang lagi anak mereka, enam tahun masih koma selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan di Jambatan Kuning, Mukah dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, keempat-empat anak beranak itu dilanggar sebuah kereta dari arah Balingian ke Mukah selepas dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Superintenden Alexson Naga berkata, akibat rempuhan itu pasangan suami isteri termasuk dua anak mereka tercampak ke bahu jalan.

Katanya, mangsa Jaifa Mohamad, 27, maut di tempat kejadian manakala suaminya, Mohamad Adika Sudin, 26, dan anak lelaki Mohamad Aniq Yuzri, 7,  meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Mukah.

Seorang lagi mangsa, Fiti Nurlyana, 6, cedera parah dan masih koma di Hospital Sibu.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca sebenar insiden masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.