Rompak warga asing, dua sekawan dijel

0
KE PENJARA: Nasiruddin (kiri) dan Iskandar keluar dari kamar Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman.

KE PENJARA: Nasiruddin (kiri) dan Iskandar keluar dari kamar Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Dua sekawan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan diperintahkan untuk diberi tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana merompak dua warga asing.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nasiruddin Yusuf, 28, dan Iskandar Putit, 27, selepas tertuduh mengaku melakukan pertuduhan tersebut.

Mahkamah menyabitkan mereka dalam pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 31 Mei lalu sekitar jam 11 pagi di Tebingan Kuching dan merompak telefon bimbit, wang tunai RM10 dan pasport mangsa-mangsa.

Mahkamah diberitahu dua lelaki Indonesia membuat laporan polis selepas dirompak.

Pengadu Eriyanto memberitahu dia dan seorang lagi rakan, Syaifuddin sedang duduk di kerusi apabila dua lelaki tidak dikenali menghampiri dan mengarahkan mereka menyerahkan barangan berharga.

Bimbang atas keselamatan masing-masing, mangsa-mangsa menyerahkan telefon bimbit dan tertuduh turut merampas pasport mereka.