Operasi cari budak hilang di Sungai Engkari diteruskan

0
CARI: Pasukan juruselam bersiap sedia untuk  mencari mangsa dipercayai lemas di Sungai Engkari.

CARI: Pasukan juruselam bersiap sedia untuk mencari mangsa dipercayai lemas di Sungai Engkari.

LUBOK ANTU: Seorang budak lelaki hilang dipercayai lemas ketika mandi bersama rakannya di Sungai Engkari dekat Rumah Panjang Ujan, Nanga Spaya di sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Cryner Casey, 8.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP James Johnathan berkata berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku pada jam 1 petang semasa mangsa dan tiga rakannya mandi di tepi sungai ditemani ibu mangsa.

“Tiba-tiba empat kanak-kanak tersebut dibawa arus dan pakcik mangsa yang kebetulan berada di tepi sungai terus terjun dan hanya berjaya menyelamat tiga kanak-kanak terbabit,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak polis dan orang kampung dijalankan sebaik menerima maklumat daripada Tuai Rumah Ujan pada jam 1.30 petang hari yang sama.

Polis terdiri empat anggota diketuai Inspektor Demas Yahya pergi ke tempat kejadian yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki bot.

Rumah Panjang Ujan, Sepaya terletak di hulu Projek Empangan Hidro Batang Ai dan mengambil masa dua jam perjalanan menggunakan bot perahu panjang.

Operasi SAR dihentikan jam 7 malam kelmarin akibat cuaca gelap dan disambung semula pagi semalam.

Pasukan SAR bergerak ke lokasi dengan menaiki bot bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terdiri lima anggota bomba, enam anggota JPAM, seorang pegawai dan tiga anggota polis serta tiga juruselam dari Kuching.

Mangsa masih belum dijumpai ketika berita ini ditulis semalam.