Kerajaan ikrar bantu

0

Uggah, Razi lawat SK Kampung Buda, sampaikan komitmen kerajaan bantu penduduk terjejas

PRIHATIN: Uggah dan Razi bersama rombongan melihat kemusnahan SK Kampung Buda.

PRIHATIN: Uggah dan Razi bersama rombongan melihat kemusnahan SK Kampung Buda.

SPAOH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi Sitam semalam melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda di sini yang roboh akibat runtuhan tebing sungai.

Mereka menyampaikan amanat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan menyatakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu penduduk terjejas akibat kejadian pada pagi kelmarin yang menyaksikan 80 peratus bangunan sekolah tersebut musnah.

Uggah berkata, Adenan melahirkan rasa simpati dan berharap penduduk tabah menghadapi ujian serta cabaran itu.

“Kita telah memaklumkan penduduk kampung bahawa murid-murid akan ditempatkan sementara di SK Spaoh dan menginap di asrama sehingga sekolah baharu disiapkan.

“Pejabat Residen (Betong) juga diarah memantau rumah penduduk yang dirasakan terjejas dan dipindahkan segera jika perlu,” katanya yang terpaksa menangguhkan lawatan sepatutnya dilakukan kelmarin disebabkan masalah teknikal helikopter dan cuaca buruk.

Menurutnya, tapak baharu sekolah telah dikenal pasti, namun kerja pembinaan akan mengambil masa memandangkan cuti sekolah berakhir hujung minggu ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Residen Betong Datu Romie Daniel, Pemangku Pegawai Daerah Betong Paimon Faishar dan Pegawai Pendidikan Daerah Betong Sapawi Mahdi.

Sementara itu, Sapawi berkata SK Spaoh dipilih memandangkan ia mempunyai kemudahan asrama bagi menempatkan murid-murid SK Kampung Buda.

“Sekolah lain yang dekat tiada kemudahan asrama dan ini menyukarkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak masing-masing setiap hari kerana terpaksa menyeberang sungai,” katanya.

MUSNAH: Pemandangan dari udara SK Kampung Buda yang runtuh akibat hakisan tebing Sungai Saribas.

MUSNAH: Pemandangan dari udara SK Kampung Buda yang runtuh akibat hakisan tebing Sungai Saribas.