Bekas pelumba negara selamat dikebumikan

0

GEORGE TOWN: Bekas pelumba basikal nasional, Mohd Adris Ahairi, 78, yang meninggal dunia kelmarin selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat, di sini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kirakira 9.10 malam di Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah sebulan menerima rawatan di hospital itu kerana menghidap penyakit buah pinggang.

Allahyarham yang merupakan antara atlet berbasikal yang disegani sekitar tahun 50-an meninggalkan seorang balu, Saadiah Abdullah dan dua orang anak.

Setiausaha Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Munir Mohd Ismail ketika dihubungi berkata Allahyarham banyak mengajarnya cara berlumba basikal sehingga membolehkannya melatih anak-anak muda yang berminat dengan sukan berbasikal.

“Allahyarham sebulan menerima rawatan di HPP dan dia pernah beritahu yang dia tak lama dah (meninggal dunia). Arwah sebelum ini pernah diserang strok pada tahun 2004,” katanya.

Munir berkata sepanjang penglibatan Mohd Adris dalam arena berbasikal, beliau pernah menjadi pelumba terbaik negara pada usia mudanya. — Bernama