David enggan terburu-buru

0

Oleh Harry Ilias//

PENERANGAN: David memberi penerangan kepada pemainpemain Sarawak sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Negeri Kuching semalam.

PENERANGAN: David memberi penerangan kepada pemainpemain Sarawak sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Negeri Kuching semalam.

KUCHING: Jurulatih sementara Sarawak, David Usop mahu menguji dengan lebih mendalam pemain import dari Romania, Andrei Alexandru Cordos dan import dari Serbia, Vladimir Otasevic untuk melihat kemampuan sebenar dua tonggak pertahanan tengah itu.

Meskipun tidak menolak kedua-dua pemain itu memiliki kriteria yang beliau mahukan, David tetap bertegas tidak akan mengambil keputusan terburu-buru memilih pemain-pemain baharu.

“Mereka memiliki ciriciri pemain yang saya mahukan, berani memberi arahan kepada rakan-rakan lain serta mampu membuat hantaran dengan baik,” katanya ditemui pada sesi latihan di Stadium Negeri di sini semalam.

Namun, beliau perlu melihat dengan lebih terperinci keupayaan kedua-dua pemain import terbabit sebelum membuat sebarang keputusan.

Andrei, 28, kelahiran Campia Turzii, Romania tiba di sini kelmarin untuk mencuba nasib mengisi kekosongan posisi pertahanan yang ditinggalkan oleh Davide Grassi.

Pemain yang memiliki ketinggian 6 kaki 4 inci itu sedang beraksi bersama FC Botosani yang bersaing dalam liga profesional Romania.

Beliau juga pernah menyarung jersi kebangsaan Romania ketika mewakili skuad bawah 19 dan 21 tahun.

Manakala Vladimir, 30, baharu tiba di sini semalam pernah mewakili kelab Metalac Gornji Milanovac yang beraksi dalam Liga Super Serbia.

Menurut David, beliau masih menanti kedatangan beberapa pemain lain yang dijangka tiba dalam sehari dua ini untuk menjalani ujian bersama skuad Sarawak.

Tambahnya, beliau hanya akan mengambil keputusan selepas Sarawak menentang Selangor PKNS dan Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan persahabatan yang masih belum diputuskan tarikhnya.

“PKNS dan Kuala Lumpur telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sarawak.

Kita akan berlepas ke Semenanjung Malaysia pada 23 Jun ini.

“Selain itu, kita juga merancang mengadakan perlawanan ‘sparring’ dengan skuad SUKMA XVIII Sarawak,” katanya sambil yakin anak-anak buahnya mampu meningkatkan prestasi masing-masing.

Kempen Liga Super 2016 akan bersambung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan Sarawak akan bertandang ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang pada 16 Julai depan.

Sebelum itu, Sarawak akan bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah dalam aksi pembukaan Piala Malaysia pada 13 Julai depan.