‘The Borneo Post Run 2016’ sasarkan penyertaan seramai 2,500

0
JOM SIHAT: Micheal (tiga kanan) menyampaikan kotak minuman air Green Tea Yeo’s kepada Lau selaku minuman rasmi ‘The Borneo Post Run 2016’.

JOM SIHAT: Micheal (tiga kanan) menyampaikan kotak minuman air Green Tea Yeo’s kepada Lau selaku minuman rasmi ‘The Borneo Post Run 2016’.

SIBU: Penganjuran larian ‘The Borneo Post Run 2016’ menyasarkan penyertaan seramai 2,500 orang iaitu melebihi penganjurannya tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan See Hua, Temenggung Datuk Vincent Lau berkata acara ‘The Borneo Post Run’ mendapat sambutan setiap tahun sejak penganjuran pada 2011.

Menurutnya, daripada hanya 800 penyertaan kini jumlah itu mencecah 2,200 penyertaan pada tahun lalu.

“Ini memberi semangat kepada kita meneruskan acara ini dan kita berusaha memastikan acara itu diadakan setiap tahun,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.

Hadir sama Pengurus See Hua Cawangan Sibu Kueh Nguan Seng, Pengurus KTS Trading Sdn Bhd Cawangan Sibu, Benny Lau dan Pengurus Jualan Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Michael Lee.

Lau menambah, di samping menyampaikan maklumat serta berita mengenai situasi dunia semasa syarikatnya tidak lupa akan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat.

Katanya, ‘The Borneo Post Run’ adalah salah satu cara mengucapkan terima kasih kepada pembaca di samping menggalakkan masyarakat terlibat dengan aktiviti sihat.

“Kita harap acara ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kesihatan hidup malah dapat merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di negeri ini,” katanya.

Larian itu dibahagi kepada lima kategori iaitu 8 kilometer (km) untuk kategori terbuka lelaki dan wanita, lelaki dan wanita junior dan ‘Fun Run’ (4km).

Ia terbuka untuk semua warganegara Malaysia dan warga asing.

Tarikh tutup pendaftaran dilanjutkan daripada 8 Ogos kepada 15 Ogos dan yuran pendaftaran adalah RM20 untuk terbuka lelaki dan wanita, RM13 untuk lelaki dan wanita junior, manakala RM15 untuk yuran penyertaan ‘Fun Run’.

Lau berkata, untuk pendaftaran 1,500 terawal akan menerima kemeja-T ‘The Borneo Post Run 2016’ percuma.

Bagi acara terbuka lelaki dan wanita, junior lelaki dan wanita masing-masing tempat pertama meraih wang tunai RM350 serta trofi, tempat kedua RM300 serta trofi dan tempat ketiga RM250 serta trofi diikuti tempat keempat RM200, kelima RM150 dan tempat keenam hingga ke-30 meraih RM30 dan 6 hingga 70 kategori lelaki dan wanita junior.

Untuk acara ‘Fun Run’, pertama meraih wang tunai RM120 serta trofi, kedua RM100 serta trofi, tempat ketiga RM80 serta trofi.

Bagi tempat keempat menerima wang tunai RM60, kelima RM40 dan tempat keenam hingga ke-70 meraih RM20.

Semua pemenang mendapat sijil penyertaan kecuali kategori ‘Fun Run’.

Lau turut mengucapkan terima kasih kepada Yeo’s selaku penaja utama yang menaja ‘The Borneo Post Run’ sejak 2012.

“Tahun ini Yeo’s menaja sejumlah RM20,000 dan kita berasa gembira kerana mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi See Hua Marketing Sdn Bhd 084-315252 atau e-mail ke [email protected].