Tiga beranak terlibat pengedaran dadah ditahan

0
DICEKUP: Salah seorang suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

DICEKUP: Salah seorang suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI: Polis Miri percaya berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dengan penangkapan tiga beranak dan merampas dadah dipercayai ganja seberat 303 gram.

Tiga beranak terbabit terdiri daripada seorang bapa dan dua anak lelaki berjaya diberkas hasil serbuan polis ke sebuah rumah, Jalan Calycina, Taman Pin Fook Riam di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek terbabit berusia lingkungan 20-an hingga 60-an.

Terdahulu, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri melakukan serbuan ke rumah terbabit.

Dalam serbuan dilakukan sekitar jam 10.45 pagi, 13 Jun lalu polis menahan seorang lelaki bersama dua kotak berwarna merah mengandungi daun-daun kering mampat dipercayai dadah berbahaya jenis ganja dengan berat kasar 303 gram.

Turut ditemui di dalam kotak itu ialah perkakasan digunakan untuk membungkus dadah.

Menurut Junaidi, polis turut merampas wang tunai RM10,000 milik suspek dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Dalam serbuan sama, polis turut menahan bapa dan abang suspek untuk membantu siasatan lanjut.

Berikutan tangkapan itu, ketiga-tiga suspek bersama dadah yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Hasil ujian air kencing dilakukan ke atas mereka mendapati hanya suspek pertama positif dadah.

“Buat masa sekarang, ketiga-tiga suspek direman enam hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Junaidi berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bekerja sendiri dipercayai terlibat kegiatan itu lebih kurang setahun lalu akibat kesempitan wang.