Brazil pecat Dunga ekoran kekecewaan terbaharu

0

RIO DE JANEIRO, Brazil: Brazil memecat jurulatih kebangsaan bola sepak, Dunga, Selasa lepas setelah pasukan itu disingkirkan di pusingan pertama Copa Amerika.

Gabungan Bola Sepak Brazil (CBF), berkata dalam satu kenyataan di mana ia membuat keputusan untuk memecat Dunga dan ‘membubarkan kakitangan kejurulatihan pasukan kebangsaan Brazil’ ekoran kekecewaan terbaharu.

Berita itu hadir selepas pegawai CBF bertemu dengan Carlos Caetano Bledorn, atau Dunga, pada awal hari yang sama.

Penyingkiran awal dari Copa Amerika – edisi kejohanan ke-100 – di Amerika Syarikat (AS) adalah kekecewaan terbaharu menjejaskan seluruh negara Brazil, yang turut dilanda kemelesetan ekonomi.

Negara itu masih cuba mencari sinar selepas dimalukan 1-7 oleh Jerman pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 yang berlangsung di tanahair mereka sendiri.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Ecuador dan kemenangan 7-1 ke atas Haiti, Brazil memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang Peru untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Sebaliknya, mereka tersingkir selepas tewas 0-1 menerusi gol kontroversi di mana penjaring gol, Raul Ruidiaz, kelihatan menolak bola dengan lengannya pada lewat permainan.

Ia adalah kali pertama dalam tiga dekad di mana Brazil tersingkir di pusingan pertama kejohanan.

Media Brazil membuat spekulasi di mana Dunga akan diganti oleh Tite, jurulatih kelab Corinthians.

Tite membimbing Corinthians memenangi kejuaraan berganda Copa Libertadores dan Piala Kelab Dunia pada 2012.

Pada tahun berikutnya, beliau membimbing pasukan memenangi Copa Sudamericana.

CBF masih belum mengumumkan pengganti Dunga sehingga berita ini ditulis.

Spekulasi memuncak dengan pemecatan Dunga walaupun beliau ada berkata beliau tidak gentar dipecat.

Beliau meminta semua pihak bersabar dengan menegaskan juara dunia lima kali itu masih di peringkat awal pemulihan pasukan.

Tetapi malangnya, Brazil kini mula mencari jurulatih baharu, beberapa minggu sebelum menganjurkan Sukan Olimpik pada bulan Ogos depan.

Di Sukan Olimpik nanti, Brazil memburu satu-satu kejuaraan yang belum dimenangi dalam acara bola sepak – pingat emas berpasukan bola sepak lelaki di Sukan Olimpik.

Dunga, 52, memenangi Copa Amerika sebanyak dua kali sebagai pemain dan menjadi kapten Brazil yang memenangi Piala Dunia 1994.

Selepas berbulan-bulan kemelesetan dan kemelut kewangan, Brazil mahu melupakan trauma Piala Dunia 2014 mereka.

Dunga pernah menjadi jurulatih Brazil dari 2006 hingga 2010 dan dipanggil semula untuk menggantikan Luiz Felipe Scolari selepas kekalahan 2014.

Beliau membimbing Brazil memenangi Copa Amerika pada 2007, Piala Konfederasi pada 2009 dan pingat gangsa di Sukan Olimpik 2008.

Tetapi pasukannya gagal menyerlah pada penggal kedua beliau.

Mereka mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 yang hambar dan ketika ini berada di tangga keenam kumpulan kelayakan Zon Amerika Selatan.  — AFP