SUKMA: Skuad tinju Sarawak sekali lagi berguru di Indonesia

0

KUCHING: Skuad tinju Sarawak sekali lagi berguru di Indonesia sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi temasya SUKMA yang berlangsung dari 23 hingga 30 Julai 2016 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Menurut Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo, seramai 10 petinju Sarawak berlepas ke Kalimantan Barat (KALBAR), Pontianak kelmarin akan menjalani latihan bersama petinju Persatuan Tinju Amatir Indonesia (PERTINA).

“Sesi latihan diadakan sehingga 4 Julai dan ini merupakan pendedahan terakhir sebelum atlet menyertai kem 1 Divisyen untuk latihan intensif seterusnya.

“Terima kasih kepada pihak PERTINA terutama Presidennya, Tukimin kerana sudi bekerjasama dengan kita kali ini,” ujar Rahman ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, di sana petinju negeri akan mengadakan latihan bersama selain ‘sparring’ bersama dengan petinju PERTINA.

Menurut Rahman lagi, empat jurulatih skuad negeri juga turut serta iaitu Ketua Jurulatih Mohd Herman Musa, Wilbur Andogan, Robin Tiong dan Angchoi.

“Saya berharap petinju akan menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meningkatkan lagi kemahiran dan stamina sebelum menghadapi temasya sebenar nanti,” tambah beliau.