Wanita PBB akan kenal pasti perkara dijanjikan kepada rakyat pada PRN

0

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan mengenal pasti perkara yang dijanjikan kepada rakyat di kawasan terbabit pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lalu.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua jentera parti peringkat cawangan dan ranting bagi membincangkan perkara tersebut.

Setiausaha Kehormat Wanita PBB Negeri, Nancy Shukri berkata ia bagi memastikan keperluan atau permintaan rakyat dipenuhi atau diselesaikan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

“Kita mahu memastikan semua janji yang dibuat sama ada oleh calon-calon, Menteri-Menteri Persekutuan ataupun agensi-agensi kerajaan yang turun padang ketika tempoh berkempen akan dilaksanakan,” katanya pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita (MTW) PBB di sini.

Mesyuarat MTW PBB itu dipengerusikan Ketua Wanita PBB, Tan Sri Empiang Jabu dan merupakan yang pertama selepas PRN11 diadakan pada Mei lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Wanita PBB, Datuk Fatimah Abdullah merangkap Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti dan Naib Ketua Wanita PBB, Datuk Catherine Gramong.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan kelemahan dan cabaran dihadapi semasa hari mengundi pada 7 Mei lalu selain dibawa ke peringkat lebih tinggi agar tidak berulang pada pilihan raya akan datang.

Nancy turut mengucapkan penghargaan kepada semua jentera parti terutamanya sayap wanita begitu komited, dedikasi dan profesional ketika sebelum dan sepanjang PRN lalu sehingga Barisan Nasional (BN) Sarawak memperolehi kemenangan besar.

Katanya, menerusi analisis pasca-PRN11 menunjukkan jentera wanita telah bekerja begitu keras sejak sebelum pilihan raya.

“Seminar dan bengkel diadakan secara konsisten dan ini termasuk memperkasa diri dengan pelbagai ilmu sebagai persiapan mendekati rakyat dan pengundi-pengundi baharu.

“Dengan ilmu yang ada, mereka gunakan semasa berkempen dan memastikan isu-isu di kawasan ditangani sebaiknya,” kata Nancy.