Rujuk balik ucapan penggulungan

0

Uggah kesal Chong persoal jawapan isu komposisi kaum sektor awam

// Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meminta Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen merujuk kembali kepada ucapan penggulungannya mengenai perkara Perkhidmatan Awam bagi fakta jelas dan tepat.

Ia adalah susulan kenyataan Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu yang mempersoal jawapan kerajaan oleh Uggah mengenai ketidakseimbangan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam yang dibangkitkan baru-baru ini.

Menurut Chong, berdasarkan jawapan diberi Uggah, ia seolah-olah kerajaan negeri tiada hasrat menangani isu berkenaan dan dilihat seolah-olah akan meneruskan polisi bersifat berat sebelah kaum ini.

Uggah dalam ucapan penggulungannya dipetik sebagai berkata, “Kita mengakui bahawa isu ini perlu ditangani. Pada pihak kerajaan perkara mengenai peluang pekerjaan di Sarawak secara keseluruhannya termasuk sektor awam dan swasta termasuk isu jantina akan ditangani jawatankuasa dipengerusikan Ketua Menteri.”

Justeru kata Uggah, beliau amit kesal kerana Chong tidak mengemukakan sebarang soalan tambahan ketika beliau membentangkan isu mengenai perkhidmatan awam pada sesi DUN yang baharu selesai.

“Saya tidak tahu sama ada beliau tidur atau mempunyai masalah pendengaran,” tekan Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar menerusi satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Tan Sri Datuk Amar James Masing juga Timbalan Ketua Menteri berkata Chong mempunyai tabiat mendengar tanpa memahami.

Jelas Masing, Datuk Amar Uggah ketika menjawab mengenai ketidakseimbangan kaum dalam perkhidmatan awam Sarawak seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan dengan Ketua Menteri sebagai pengerusi bagi melihat isu ini.

“Saya dengar dan memahami jawapan beliau (Uggah) dan saya pasti Chong juga mendengarnya, sama ada beliau faham atau beliau pekak.

“Ketidakseimbangan kaum dalam perkhidmatan awam seperti yang dilaporkan akan ditangani jawatankuasa seperti yang dinyatakan.

“Masalah ini tidak berlaku dalam waktu singkat, jadi ia akan mengambil masa untuk ditangani,” jelas Masing mengulas kenyataan daripada Chong.

Tambah Masing juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, kerajaan memahami kepentingan kualiti perkhidmatan awam dalam pentadbiran negara.

Pada masa sama, keperluan mempunyai taburan pekerjaan yang adil dalam perkhidmatan awam yang mencerminkan komposisi kaum di Sarawak juga penting.