ASAS kini menjadi lebih besar: Wee

0

KUCHING: Peranan Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) kini menjadi lebih besar selepas dua lagi acara akuatik (terjun dan polo air) kini diletakkan di bawah kawalan badan itu berikutan perubahan terhadap polisi Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Presidennya, Datuk Wee Hong Seng berkata ASAS menerima surat daripada Setiausaha ASUM, Mae Chen bertarikh 6 Januari mengatakan semua acara akuatik – renang, terjun, polo air dan renang berirama di Sarawak diletakkan di bawah kuasa persatuan negeri memandangkan ASAS merupakan ahli gabungan badan kebangsaan.

Wee berkata, Sarawak adalah unik dan tidak seperti negeri-negeri lain di mana mempunyai banyak bahagian dan ketika ini mempunyai sejumlah tujuh ahli gabungan.

“Perubahan polisi sukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) ini memperuntukkan sebarang peruntukan pembiayaan daripada mereka perlu melalui persatuan negeri atau sekurang-kurangnya mendapat persetujuan persatuan sukan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, terma ditetapkan ASAS adalah berpandukan kepada ahli-ahli gabungan di mana acara terjun di Kuching dikendalikan oleh Persatuan Renang Amatur Kuching (KASA) dan begitu juga tempat lain.

Beliau juga berharap masa akan datang semua ahli gabungan bahagian mempunyai aktiviti pembangunan sukan terjun dan polo air.

“Ketika ini, Sibu telah memulakan program latihan polo air dan akan dikendalikan oleh Persatuan Renang Amatur Sibu,” tambahnya.

Menurut Wee, program pembangunan sukan terjun di Kuching berjalan dengan pesat dan pusat latihan gabungan dimulakan oleh perenang KASA di Stadium Akuatik Sarawak, Petra Jaya.

“Dalam masa terdekat, kita berharap pasukan polo air di Kuching akan berlatih di bawah satu bumbung kerana kita berkongsi semua fasiliti, peralatan dan gimnasium apabila ia disediakan.

“Sebagai permulaan, kita berusaha mendapatkan persetujuan daripada ASUM menganjur Pertandingan Polo Air Jemputan Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-52 pada pertengahan September,” katanya.

Tambahnya, ASAS juga telah merangka struktur kerja sukan terjun dan polo air untuk ahli-ahli gabungan dan ASAS sendiri.

“ASAS sedang mempakej dan menyusun semula sukan akuatik untuk memastikan pengagihan sumber secara adil kepada semua ahli gabungan.

“Kita amat menyokong dan menggalakkan pelaksanaan aktiviti akuatik yang tulen bagi mempromosi dan membangunkan sukan ini,” katanya.

Menurutnya, aktiviti polo air telah dihentikan sejak 2000 dan selepas 16 tahun, ASAS mengalukan-alukan semula kehadiran sukan itu di sini.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai pencapaian baik dengan pasukan negeri pernah memenangi pingat dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini.

“Kita telah menubuhkan jawatankuasa kecil sukan terjun dan polo air. ASAS akan berusaha untuk mengembalikan semula era kegemilangan Sarawak dalam dua sukan itu. Semoga dengan penubuhan ini, saya tidak sabar melihat Sarawak kembali menjadi juara sukan polo air,” katanya.