Litar lumba amat diperlukan

0

Freddy yakin Sematan berpotensi besar dibangunkan sebagai pusat sukan permotoran

// Oleh Harry Ilias //

RAI KEJAYAAN: Freddy (tiga kiri) meraikan kejayaan menduduki tempat keempat pada Cabaran X30 Singapura 2016 Pusingan Ketiga di Sirkit Karting Singapura KF1, Kranji pada 4 Jun lalu.

RAI KEJAYAAN: Freddy (tiga kiri) meraikan kejayaan menduduki tempat keempat pada Cabaran X30 Singapura 2016 Pusingan Ketiga di Sirkit Karting Singapura KF1, Kranji pada 4 Jun lalu.

KUCHING: Pekan Sematan mungkin hanya lebih dikenali sebagai perkampungan nelayan yang ekonominya banyak bergantung terhadap hidupan laut.

Namun, ramai tidak menyedari Sematan sebenarnya berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat sukan permotoran jika kerajaan bersetuju membina trek lumba di sana.

Pelumba gokart profesional dari Sarawak, Freddy Lawan berkata Sematan yang terletak kira-kira 110 kilometer dari pusat bandar raya amat sesuai dijadikan tapak trek lumba atas faktor geografinya.

“Sematan terletak berhampiran dengan laut dan mempunyai permukaan pantai yang keras. Faktor ini menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan trek lumba kereta dan gokart.

“Berdasarkan pengalaman saya semasa bertanding di perlumbaan antarabangsa, pelumba luar negara amat gemar trek lumba berhampiran laut kerana memberi peluang kepada mereka untuk bersantai selain berlumba.

“Selain itu, pembinaan trek berhampiran laut juga memberi banyak kelebihan kerana kita dapat menganjur pelbagai aktiviti sukan air seperti perlumbaan jet ski, bot dan sebagainya. Ini akan menjadi daya tarikan kepada pelancong khususnya dari luar,” katanya.

Menurut Freddy, trek itu akan membawa banyak manfaat kepada Sarawak kerana bukan sahaja dapat merancakkan sektor pelancongan sukan negeri malah membantu memacu ekonomi penduduk setempat.

Pada masa sama, ia juga akan meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai pusat sukan permotoran.

“Saya mempunyai rakan kenalan kalangan pelumba dalam dan luar negara dan mereka sering bertanya mengenai trek di Sarawak.

“Kita harus mencontohi Singapura, sebuah negara kecil tetapi mampu menjadikan sukan permotoran sebagai satu industri yang menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Menjelas lanjut, Freddy berkata Sarawak mempunyai sekitar 30 pelumba gokart profesional yang bergiat aktif dan sering menyertai perlumbaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa setiap tahun.

Namun, mereka dibelenggu masalah menjalani latihan kerana Kuching tidak mempunyai trek lumba yang sesuai.

“Sebelum ini, kami berlatih di trek Stadium Negeri, Petra Jaya. Selepas pihak stadium membina lapang sasar menembak untuk penganjuran SUKMA, kami kehilangan tempat untuk berlatih.

“Setiapa tahun, saya menyertai banyak perlumbaan gokart termasuk kereta ‘touring’ di dalam dan luar negara. Justeru itu, saya amat berharap kerajaan membina trek lumba kerana kami amat memerlukan tempat untuk berlatih,” jelasnya.

Baru-baru ini, Freddy mengharumkan nama negara apabila berjaya menduduki tempat keempat pada Cabaran X30 Singapura 2016 Pusingan Ketiga di Sirkit Karting Singapura KF1, Kranji pada 4 Jun lalu.