Tapak penjara baharu Sibu dikenal pasti

0

Projek belum dapat direalisasi kerana ketiadaan peruntukan buat masa ini

// Oleh Judan Bungap //

SIBU: Kerajaan mengenal pasti tapak membina sebuah penjara baharu di Sibu bagi menampung kesesakan di penjara tersebut pada masa ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata bagaimanapun pelaksanaan projek itu masih belum dapat direalisasikan berikutan ketiadaan peruntukan masa ini.

“Namun, kita amat berharap kerajaan dapat memperuntukkan kos pembinaan projek penjara Sibu yang baharu dalam Bajet 2017 akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Penjara Pusat Sibu Pegawai Penguasa (PP) Bismillah Abang Masra yang disiarkan Utusan Borneo semalam.

Bismillah menyatakan bahawa Penjara Pusat Sibu sedia ada kini sesak dan tidak mampu menampung penghuni yang ramai.

Selain sesak, lokasi Penjara Pusat Sibu yang dibina sejak 1918 terlalu dekat dengan jalan raya serta penempatan penduduk.

“Setakat ini, kita belum mengetahui mengenai rancangan kerajaan mewujudkan penjara baharu di Sibu dengan lebih terperinci.

“Saya masih baharu di sini dan berharap pihak berkenaan boleh mempertimbangkannya,” kata Bismillah ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Penghuni Penjara Pusat Sibu di sini Khamis lalu.