10 pemuda dari Kuching jadi mangsa penipuan

0

SIBU: Sepuluh pemuda dari Kuching terpaksa berputih mata selepas mereka dipercayai ditipu orang tengah yang mendakwa menawarkan pekerjaan luar pesisir Labuan dengan tawaran gaji bulanan melebihi RM4,000 seorang.

Semua mangsa yang mempunyai hubungan persaudaran dipercayai telah membayar orang tengah yang juga saudara mereka sebanyak RM150 daripada yuran pemprosesan RM3,000 yang sepatutnya dibayar.

Mangsa tiba di Sibu minggu lalu sebelum menuju ke Bintulu untuk menjalani kursus dan menaiki kapal terbang menuju ke Labuan untuk pekerjaan baharu mereka.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu di Sibu selepas gagal berjumpa dengan seorang suspek dikenali Christopher yang sepatutnya bertemu dengan mereka untuk mengatur urusan seterusnya.

Mereka memberitahu bahawa Christopher menerusi panggilan telefon berkata datuknya telah meninggal dunia dan suspek terpaksa pulang ke rumah panjang untuk pengebumian.

Christopher kemudian memperkenalkan kepada mereka pengurus syarikat dikenali Jimmy Ho, namun mereka mendapati talian telefon bimbit Jimmy tamat perkhidmatan.

Mangsa juga gagal menghubungi kembali Christopher untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Mereka mendakwa Christopher sebelum ini memberitahu bahawa kursus mereka di Bintulu telah dibatalkan dan mereka perlu mengambil penerbangan dari Sibu ke Labuan untuk bekerja.

Mangsa yang berasakan sesuatu yang tidak kena kemudian membuat pemeriksaan dengan syarikat penerbangan dan mendapati tidak ada tempahan untuk mereka.

Mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu semalam untuk tindakan lanjut.