Cari jalan percepat liputan elektrik menyeluruh

0

Keluasan S’wak merupakan halangan utama dalam menyambung grid elektrik di pedalaman, kawasan terpinggir

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi inisiatif bersepadu pelbagai pihak termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB) akan terus mencari jalan mempercepatkan usaha ke arah liputan bekalan elektrik penuh di Sarawak.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, keluasan negeri ini merupakan satu halangan utama khasnya dalam menyambung grid elektrik di pedalaman dan kawasan terpinggir.

“Kita mungkin tidak dapat mencapai kawasan tersebut dalam masa terdekat. Oleh itu, kita perlu berlaku adil kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil dengan berfikir di luar kotak untuk menyelesaikannya,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Gawai anjuran Kelab Sukan Sarawak Energy di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Torstein Dale Sjotveit, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Lu Yew Hung dan pengerusi penganjur merangkap Tuai Gawai Robin Tigai.

Rundi berkata, Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) merupakan satu alternatif tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan mikrohidro bagi membolehkan liputan bekalan elektrik menembusi kawasan pedalaman Sarawak.

Inisiatif bersepadu kerajaan negeri yang disokong oleh SEB itu bertujuan menyediakan bekalan elektrik 24 jam melalui kemajuan dalam teknologi tenaga alternatif kepada masyarakat pedalaman, yang sukar dan akan mengambil masa untuk menyambung ke grid elektrik utama.

Beliau turut memuji pihak pengurusan SEB yang berusaha gigih memacu pembangunan sektor kuasa Sarawak.

“Saya yakin pelaburan oleh SEB dalam penjanaan, sistem penghantaran dan pengagihan akan menghasilkan sistem bekalan elektrik moden yang akan menjadi salah satu yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Torstein berkata SEB juga telah mula membekalkan elektrik ke Kalimantan Barat di Indonesia dalam usaha menjadi syarikat kuasa serantau bagi tenaga diperbaharui.

Katanya SEB kini menyediakan tenaga bersih boleh dipercayai untuk negeri jiran, mengembangkan rangkaian serantau dan pasaran melangkaui negeri ini.

Syarikat utiliti milik kerajaan itu turut menandatangani Surat Hasrat dengan wilayah Kalimantan Wilayah Utara (KALTARA) Indonesia dalam menyediakan panduan dan kepakaran bagi membangunkan sektor kuasa di wilayah tersebut.

“Sarawak Energy bukan hanya pemain peranan di persada tempatan tetapi turut menyediakan kepakaran di peringkat serantau dan global,” katanya.