Memanah: Skuad recurve negara raih perak di Nove Mesto

0

KUALA LUMPUR: Skuad memanah recurve elit paralimpik negara meraih pingat perak dalam Kejohanan Ranking Memanah Para 2016 di Nove Mesto, Republik Czech, kelmarin.

Selepas gagal meraih sebarang kejayaan pada Kejohanan Kelayakan Sukan Paralimpik Rio di venue yang sama, skuad negara yang terdiri daripada Hasihin Sanawi, Ahmad Jaffry Jamaluddin dan Daneshen Govinda Rajan beraksi cemerlang sehingga melangkah ke peringkat akhir.

Mereka bagaimanapun tunduk kepada gandingan Boonyarit Chaipoon, Hanreuchai Netsiri dan Sakon Inkaew dari Thailand dengan hanya satu mata dalam penentuan ‘shoot-off’ 25-26 selepas terikat 4-4.

Pemanah negara bermula baik pada pusingan pertama dengan menewaskan Mongolia 5-3 pada pusingan pertama dan seterusnya menewaskan Rusia 6-2 pada peringkat suku akhir.

Mereka meneruskan rentak kecemerlangan dengan menewaskan pasukan Jepun 5-3 pada separuh akhir untuk menempah tempat ke peringkat akhir.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi skuad compound lelaki negara yang terdiri Mohd Zafi Rahman Mat Saleh, Yuhaizam Yahaya dan Azrul Abdul Rashid selepas terkandas di peringkat suku akhir.

Barisan pemanah negara tewas kepada gandingan Ruslan Ramazanov, Ivan Kozlov dan Aleksander Zubar dari Rusia 198-224.

Pada pusingan pertama, mereka berjaya menewaskan pasukan Slovakia 215-209.  — Bernama