Ikan kita dijarah

0

Hampir 200 tan metrik ikan dirampas hasil penahanan lapan bot nelayan C2 dan vesel induk asing

DITAHAN: Awak-awak warganegara asing yang ditahan daripada lapan bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing berhampiran Pelabuhan Tanjung Manis.

DITAHAN: Awak-awak warganegara asing yang ditahan daripada lapan bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing berhampiran Pelabuhan Tanjung Manis.

KERJA HARAM: Sebuah vesel induk asing yang berlabuh dan dihimpit lapan vesel nelayan C2 sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan ikan antara vesel ke vesel.

KERJA HARAM: Sebuah vesel induk asing yang berlabuh dan dihimpit lapan vesel nelayan C2 sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan ikan antara vesel ke vesel.

// Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Hampir 200 tan metrik atau 200,000 kilogram ikan telah dirampas hasil daripada penahanan lapan bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing yang didapati memunggah hasil tangkapan laut dari vesel ke vesel tanpa permit yang sah daripada Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, aktiviti tersebut dikesan oleh sebuah bot Maritim yang sedang melakukan rondaan pada 15 Jun lepas, jam 1.15 petang di kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika dari Pelabuhan Tanjung Manis.

Menurut beliau, kesemua bot nelayan terbabit sepatutnya mendaratkan ikan tersebut di jeti untuk kegunaan tempatan namun mereka sebaliknya memunggah hasil tangkapan ke sebuah vesel induk asing, dipercayai untuk tujuan eksport ke luar negara.

“Oleh kerana keadaan bot-bot tersebut kelihatan mencurigakan, pemeriksaan telah dilakukan dan didapati bahawa sebuah vesel induk asing yang berlabuh dan dihimpit oleh lapan vesel nelayan C2 sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan ikan antara vesel ke vesel.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot nelayan tersebut telah melanggar syarat lesen kerana gagal mengemukakan sebarang kebenaran atau permit pemunggahan ikan dari vesel ke vesel daripada mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.

“Manakala vesel induk asing dengan nama VOR SAHAMONGKOL telah gagal mengemukakan dokumen sah berdaftar sebagai kapal kargo untuk melakukan sebarang aktiviti memunggah hasil laut secara sah,” katanya pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di sini, semalam.

Pada masa sama, Ismaili berkata seramai 105  awak-awak berserta tekong warganegara asing dari Thailand dan Vietnam yang berusia antara 16 hingga 56 tahun telah ditahan dan dibawa ke jeti LKIM Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

“Ini adalah kes yang berat dan kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kastam dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di mana jika sabit kesalahan akan dikenakan kompaun serta penjara,” katanya.

Manakala berhubung perkembangan lain, Ismaili berkata mahkamah semalam telah memutuskan kesalahan ke atas sebuah vesel asing kerana memasuki perairan Malaysia pada 31 Mac lepas, setelah ditahan dalam Ops Permai Merah oleh kapal Maritim.

“Vesel terbabit didapati memasuki perairan negara tanpa izin meskipun tidak melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan tetapi mereka telah berada di perairan kita tanpa sebarang kelulusan.

“Maka itu, mahkamah telah memutuskan agar tekong termasuk kru kapal tersebut dipenjarakan selama tiga bulan mulai hari ini (semalam),” katanya sambil menambah, denda sebanyak RM500,000 turut dikenakan ke atas tekong dan RM100,000 kepada kru kapal.

Bagaimanapun, katanya kapal yang ditahan itu akan dipulangkan kepada pemiliknya yang sah.

Sementara, Ismaili mendedahkan sehingga Jun ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,738 vesel di laut.

Katanya daripada keseluruhan vesel yang diperiksa, pihaknya telah membuat penangkapan terhadap 58 kes di mana lima kes adalah melibatkan vesel nelayan asing dan 15 kes di bawah Akta Perikanan kerana melanggar syarat.

Selain itu, beliau berkata 10 kes adalah di bawah Akta Kastam yang kebanyakannya merupakan kes kapal belayar tanpa sah, satu kes di bawah Akta Kawalan dan 22 kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar yang kebanyakan kesalahan adalah melibatkan kapten kapal yang tidak memiliki sijil kelulusan.

TAKLIMAT: Ismaili menerangkan mengenai penahanan lapan bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing.

TAKLIMAT: Ismaili menerangkan mengenai penahanan lapan bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing.

RAMPASAN: Hampir 200 tan metrik atau 200,000 kilogram ikan telah dirampas hasil daripada penahanan lapan buah bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing.

RAMPASAN: Hampir 200 tan metrik atau 200,000 kilogram ikan telah dirampas hasil daripada penahanan lapan buah bot nelayan C2 dan sebuah vesel induk asing.