Hantar anak kurang cemerlang akademik ikuti kursus teknikal

0

KUCHING: Ibu bapa digalak menghantar anak-anak mereka yang kurang cemerlang dalam bidang akademik mengikuti pelbagai kursus teknikal disediakan kerajaan.

Saranan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris selepas bimbang dengan peningkatan jumlah pelajar sekolah menengah yang enggan meneruskan pengajian selepas tamat tingkatan tiga di beberapa sekolah di sekitar Simunjan.

“Kita mempunyai banyak pusat kemahiran di sini seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan sebagainya.

“Semua pusat kemahiran ini menyediakan pelbagai latihan teknikal yang sangat berguna dan sesuai disertai pelajar-pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik,” katanya semasa perjumpaan bersama delegasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Simunjan No.1 pada Majlis Berbuka Puasa di BCCK kelmarin.

Tegas Awla, apa yang penting ibu bapa tidak harus membiarkan anak-anak mereka terabai kerana dikhuatiri boleh mengundang kepada penularan gejala sosial di kalangan belia di Simunjan.

Dalam pada itu, Awla juga berjanji akan berusaha mendapatkan bangunan khas bagi kegunaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Simunjan.

Beliau turut menggesa pihak PIBG SMK Simunjan No.1 menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada kementerian berwajib bagi tindakan susulan.

Menurut Penyelaras PPKI sekolah berkenaan, Mohd Shamil Mohd Nor, ketiadaan frasarana yang lengkap membataskan usaha mereka untuk melaksanakan program pendidikan khas berkenaan.

Tambahnya lagi, keperluan bangunan khas itu amat penting memandangkan jumlah pelajar OKU di Simunjan kian bertambah.

“Program PPKI SMK Simunjan No.1 telah dijalankan selama tiga tahun. Ketika ini kita mempunyai seramai 10 murid dan saya menjangkakan jumlah itu akan bertambah setiap tahun.

“Sehubungan itu, program PPKI ini sangat penting untuk diteruskan dan kita juga amat memerlukan tempat khas bagi memudahkan lagi proses pembelajaran murid nanti,” kata Shamil pada majlis yang turut dihadiri Pengetua SMK Simunjan No.1 Khalic Abdul Hamid.