95% perokok akui berhenti merokok kerana puasa

0

14 jam sehari kawal diri merokok, perokok dinasihat tidak merokok selepas berbuka hingga esoknya

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

SIMBOLIK: Dr Jamilah (tengah) mematahkan batang rokok sambil disertai oleh (dari kiri) Ustaz Azhar, Dr Salbiah, Dr Azlee dan Aziman pada Majlis Penangguhan Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan semalam.

SIMBOLIK: Dr Jamilah (tengah) mematahkan batang rokok sambil disertai oleh (dari kiri) Ustaz Azhar, Dr Salbiah, Dr Azlee dan Aziman pada Majlis Penangguhan Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan semalam.

BINTULU: Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik meninggalkan tabiat merokok berikutan hasil kajian mendapati 95 peratus perokok beragama Islam menyatakan mereka lebih mudah berhenti merokok pada bulan tersebut.

Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri merangkap Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Jamilah Hashim berkata, dalam tempoh berpuasa 14 jam sehari perokok mampu mengawal diri merokok maka sebaiknya diteruskan tanpa merokok selepas berbuka sehingga kepada esoknya.

Katanya, sekiranya perkara ini dapat diamalkan untuk hari-hari seterusnya, nescaya tabiat merokok dapat dihakis sepanjang bulan Ramadan.

“Pada tahun 2015 sejumlah 25 peratus atau 437,000 perokok aktif di Sarawak. Manakala kos rawatan untuk tiga jenis penyakit utama akibat merokok adalah melebihi RM3 bilion setahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan Peringkat Negeri Sarawak di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan (Promosi Kesihatan) Negeri Sarawak, Aziman Mahdi dan Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu, Ustaz Azhar Hipni.

Jelasnya, kos rawatan bagi penyakit jantung koronari adalah RM545 juta setahun, kanser paru-paru (RM133 juta setahun) dan penyakit paru-paru kronik sebanyak RM2,247 juta atau RM2.2 bilion setahun.

Menurutnya, seseorang perokok atau bukan perokok menghidap penyakit akibat daripada pendedahan asap rokok memerlukan kos rawatan perubatan RM42,000 setahun untuk rawatan kanser paru-paru, panyakit kronik paru-paru (RM32,000 setahun) dan penyakit jantung koronari (RM21,000 setahun) mengikut kadar bayaran di hospital kerajaan namun lebih tinggi di hospital swasta.

“Justeru, saya menyokong penuh program seumpamanya bagi meningkat kesederhanaan masyarakat mengenai bahaya risiko penyakit akibat merokok dan kebaikan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak terutamanya masyarakat Islam untuk memasang niat dan keazaman untuk berhenti terus dari amalan berkaitan merokok.

Terdahulu, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlee Ayub berkata, Pejabat Kesihatan Bintulu telah dan sedang melaksanakan Klinik Berhenti Merokok di 12 buah Klinik Kesihatan di Bahagian Bintulu yang berperanan memberi khidmat nasihat berkaitan cara berhenti merokok.

Sementara itu, ‘Forum Perdana: Hijrah Tanpa Rokok’ turut diadakan pada majlis itu dengan ahli panelnya terdiri daripada Dr Salbiah Mohamed Isa, Ustaz Ali Fathullah Harun, Dr Nur Afiqah Abdul Rahman, Muhammad Ihsan Norkhair dan moderatornya, Hadi Bibi.