90 peratus polis Sabah jalani tugas seperti biasa pada Aidilfitri

0

KOTA KINABALU: Sebanyak 90 peratus anggota pasukan polis Sabah akan terus menjalankan tugas seperti biasa pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata keputusan berkenaan tidak mengalami sebarang perubahan mahupun penambahan cuti seperti tahun sebelumnya.

“Kita hanya memberikan cuti menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada 10 peratus anggota polis di Sabah daripada kekuatan yang kita ada iaitu seramai 6,000 anggota.

“Justeru, rakyat di negeri ini diharap dapat memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang bertugas ketika musim perayaan nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidifitri Tahun 2016M/1437H kepada Anggota Pasukan Keselamatan, di sini kelmarin.

Selain itu, Rashid juga menggesa orang ramai agar dapat melaporkan kepada balai polis berhampiran sekiranya meninggalkan rumah untuk balik ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata ia penting bagi mengingatkan anggota polis dan pihak penguatkuasa yang lain agar dapat menjalankan kekerapan rondaan bagi menjaga keselamatan rumah semasa ketiadaan pemilik rumah.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhemah dengan mengikuti peraturan jalan raya bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga.