Mungkin boleh timbang ganjaran

0

Idea baik agar orang ramai tampil bantu kes pembunuhan Bill Kayong

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Pihak berkuasa berkaitan atau kerajaan mungkin boleh mempertimbang menawarkan ganjaran kepada orang ramai tampil membantu dalam kes pembunuhan melibatkan aktivis juga Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri  Baru Bian berkata, dalam mana-mana kes serius bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain, akan ada ganjaran pihak berkuasa mem-bantu menyelesaikan kes.

“Malah ia satu idea yang baik untuk pihak berkuasa menawarkan ganjaran khasnya dalam kes yang kita anggap serius sebegini.

“Bukan itu sahaja mungkin kerajaan negeri boleh membantu menawarkan ganjaran ini untuk kita selesaikan kes jenayah sedemikian,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How dan Naib Ketua  Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Voon Shiak Ni di sini, semalam.

Baru pada masa yang sama mengingatkan kepada mereka yang prihatin dengan Bill untuk lebih rasional dengan pemergian beliau dan tidak menjadikan ia sebagai isu lain.

“Kita minta kepada orang ramai, rakan terdekat dan sebagainya untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Kita berharap juga pihak berkuasa akan melakukan siasatan terbaik demi menyelesaikan perkara ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu.

Sementara itu merujuk ke-pada kenyataan Ketua Polis Miri, ACP Junaidi Bujang bahawa polis di Miri tidak dapat bertindak terhadap gengster di Miri yang membuat ugutan kerana bukti tidak mencukupi, Baru berkata ia memang jawapan dijangkakan.

“‘Bukti tidak mencukupi’ mungkin alasan munasabah jika hanya satu dua insiden telah berlaku tetapi ia sama sekali tidak dapat diterima dalam drama pemangsaan ke atas penduduk kampung Bekelit di mana banyak laporan dibuat,” katanya.

Menurut Baru, Bill menerima panggilan telefon daripada gengster (yang beliau kenali) yang mengugut untuk membunuhnya kerana merekodkan pemberian wang yang telah dibuat kepada Bill untuk berunding dengan penduduk kampung.

“Bill telah memperdengarkan rakaman itu kepada penduduk kampung dan gengster tersebut mengetahui tentangnya.

“Laporan telah dibuat tetapi tiada tindakan diambil oleh polis. Dr Michael Teo turut menerima ancaman maut daripada gengster yang sama,” katanya.

Sehubungan itu katanya ia adalah tugas mereka untuk menjaga keamanan dan melindungi rakyat dan  kerja mereka untuk tahu apa yang sedang berlaku di kawasan di bawah penjagaan mereka.

“Kami memerlukan penjelasan yang lebih baik daripada ACP berbanding “‘bukti tidak mencukupi’,” kata Baru.