Hulur bantuan, sumbangan harus sepanjang masa

0

Masyarakat harus semai semangat prihatin berterusan

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Menghulur bantuan dan sumbangan khusus untuk golongan yang memerlukan tidak hanya perlu dilakukan menjelang perayaan semata-mata, sebaliknya harus dilakukan  sepanjang masa.

Menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, masyarakat seharusnya menyemai semangat prihatin yang berterusan malah sentiasa memberi sokongan terutama kepada golongan sasar termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan banyak lagi.

Malah katanya, jabatan kerajaan, kementerian, badan korporat serta agensi persendirian juga harus melibatkan diri secara aktif dalam menganjurkan aktiviti amal dan penyampaian sumbangan.

“Dengan adanya usaha seumpama ini, kita mahu membuktikan bahawa kita sentiasa peka terhadap keperluan dan kebajikan golongan istimewa ini selain memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pembangunan pesat negeri ini, khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ihsan Ramadan dan Aidilfitri 2016 anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Buntal, di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut ialah isteri Ketua Menteri yang juga Presiden SABATI Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Dr Abdul Rahman yang juga merupakan ADUN Pantai Damai berkata, setiap bantuan dan sumbangan perlu diagihkan secara berhemah dalam usaha kerajaan negeri mengenal pasti penerima yang layak menerima bantuan kebajikan agar menerima bantuan masing-masing.

“Sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, selain menghulur sumbangan pada bulan Ramadan seperti hari ini (semalam) dan menjelang Aidilfitri, kita juga telah menubuhkan Pasukan Skuad Sayang yang bertindak memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan terutama di luar musim perayaan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 100 penerima dalam Zon Santubong merangkumi 14 kampung menerima bantuan dan sumbangan ihsan tersebut terdiri daripada warga emas tanpa waris, ibu tunggal, anak yatim, OKU dan pesakit terlantar.

Selain sumbangan wang tunai, barang keperluan asas turut diagihkan kepada setiap penerima.

Difahamkan, program penyampaian sumbangan itu merupakan program ketiga di mana program pertama dan kedua telah berlangsung kelmarin meliputi Zon Seberang Hilir dan Zon Telaga Air yang terdiri daripada 50 penerima bagi setiap zon.

Turut hadir Bendahari SABATI Siti Shorgayah Zaiden dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Pantai Damai Jamayah Sulaiman.