Jabatan Kebajikan Am siasat latar belakang dua beradik

0
DISIASAT: Thomas (tujuh kiri) bergambar bersama-sama dengan pelajar perempuan yang viral di media sosial, pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

DISIASAT: Thomas (tujuh kiri) bergambar bersama-sama dengan pelajar perempuan yang viral di media sosial, pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Masalah kedaifan mereka menjadi viral di media sosial

TAMBUNAN: Pegawai Daerah Thomas Logijin berkata, kes dua pelajar yang viral dalam media sosial akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk menyiasat latar belakang kedua-dua pelajar ini termasuk ibu bapa mereka.

Katanya, ini telah diputuskan dalam pertemuan yang diadakan dengan salah seorang pelajar itu di Kampung Mangi Pangi, di sini pada Jumaat.

“Kami berpuas hati penjelasan yang diberikan oleh pelajar berkenaan berhubung apa sebenarnya yang berlaku ke atas keluarganya dan kami faham dan akan membuat tindakan susulan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini.

Thomas memberitahu, perkara ini akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk menyiasat latar belakang kedua-dua pelajar ini termasuk ibu bapa mereka.

Katanya, beberapa opsyen akan diambil untuk menempatkan mereka di tempat yang lebih selesa dan selamat.

“Bagaimanapun, pada masa ini mereka tinggal di tempat ahli keluarga mereka di kampung ini dan tempat itu berkedaan selesa dan selamat,” katanya.

Beliau juga difahamkan bahawa penduduk kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung ini tidak membenarkan kedua-dua pelajar itu tinggal di rumah lama peninggalan datuk mereka yang telah usang, terpencil daripada rumah-rumah di kampung ini.

Katanya, ini adalah atas faktor keselamatan kedua-dua pelajar ini sekiranya tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, beliau diberitahu bahawa kedua-dua pelajar ini masih tinggal bersama ahli keluarga mereka di kampung itu dan bukan tinggal di rumah lama tersebut.

“Menurut pemimpin masyarakat di kampung ini, ibu pelajar ini berasal dari kampung ini sementara bapanya berasal dari Tamparuli.

“Keluarga ini mempunyai lima orang anak, dua bersama bapa mereka di Tamparuli sementara seorang lagi yang bongsu bersama ibunya yang bekerja di Kota Kinabalu.

“Seperkara lagi, ibu mereka yang menyuruh dua pelajar ini tinggal di rumah lama itu, bagaimanapun penduduk kampung termasuk JKKK tidak membenarkan atas faktor keselamatanan,” katanya.

Thomas memberitahu, pihak Pejabat Daerah dan Jabatan Prkhidmatan Kebajikan Am akan menangani masalah kedua-dua pelajar ini di mana Jabatan Kebajikan diminta menyiasat latar belakang kedua-dua pelajar ini terlebih dahulu.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am akan memulakan penyiasatan latar belakang pada hari ini di sekolah tempat mereka belajar bersama-sama dengan guru-guru di sekolah itu.

Menurut beliau, pendekatan yang akan diambil selepas penyiasatan itu nanti ialah sama ada mereka ditempatkan di asrama di sekolah tempat mereka belajar atau di Rumah Kanak-Kanak Bandulu Toboh dan  Rumah Kanak-Kanak di Beringgis Papar.

Katanya, ini bagi menjaga kebajikan kedua-dua kanak-kanak ini agar tidak terabai masa depan dan pendidikan mereka di mana pelajar perempuan kini dalam tingkatan dua sementara abangnya dalam tingkatan tiga.

“Selain itu, kami juga mencadangkan kepada kerajaan melalui Jabatan Kebajikan agar dapat memberikan bantuan kewangan bulanan sebagai meringankan bebanan kedua-dua pelajar ini dan keluarganya,” katanya.

Beliau juga menyatakan maklumat yang viral adalah tidak benar malah mereka sentiasa diberikan perhatian oleh penduduk dan pemimpin kampung ini dan masih tinggal di rumah keluarga mereka yang selasa.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Severius Bruno menasihati orang ramai agar tidak percaya dengan apa yang disebarkan dalam media sosial.

Katanya, ini akan merosakkan keharmonian rakyat yang sudah lama terjalin khususnya di daerah ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Joanes Sipaul, Ketua Anak Negeri Rider Gutang, Pegawai Pembangunan Daerah Laiwon Dalus, Ketua Pemuda PBS Tambunan Rocky Jerome Budin, Presiden Agaras Michael Frederick, Ketua Kampung Samuil Duraman dan Pengerusi JKKK Yatik Mulitin.