Penyediaan bubur lambuk, bubur pedas galak amalan gotong-royong

0

KUCHING: Amalan gotong-royong khasnya dalam penyediaan bubur lambuk dan bubur pedas pada bulan Ramadan dapat mengerat hubungan penduduk kampung terlibat.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, justeru amalan itu yang dijalankan secara turun temurun setiap kali bulan puasa harus diteruskan supaya berkekalan.

Aktiviti itu katanya, merupakan salah satu acara kemuncak dinanti-nantikan dalam bulan Ramadan.

“Budaya ini kita amalkan di kampung sejak zaman dahulu dan harus diwariskan kepada generasi pelapis seperti anak cucu agar ia terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Ihsan Ramadan Pantai Damai dan Sarawak Badan Alam Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di Surau Al-Kornia Kampung Sourabaya Hilir di sini, kelmarin.

Hadir sama, isterinya yang juga Bendahari SABATI Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan Pengerusi Kejiranan Mesra Boyan Gersik Sourabaya (BGS) Mohammad Hasfa Salleh.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut menyeru lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti sedemikian.

Menurut beliau, selain meringankan bebanan golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan hidangan itu secara percuma, ia juga dapat meningkatkan kemeriahan pada bulan Ramadan.

“Gabungan dalam melaksanakan program merupakan satu pendekatan terbaik kerana mengukuhkan lagi kerjasama antara pihak-pihak terlibat,” kataya.

Majlis menyaksikan kira-kira 50 penerima dari kampung-kampung sekitar menerima bantuan ihsan selain bubur pedas dan bubur lambuk.