Rakyat bertuah di bawah kepimpinan Adenan

0

Adenan amat mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, termasuk umat Islam di negeri ini

0leh W. Bolly Ongie //

MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata rakyat Sarawak bertuah berada di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang amat mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, termasuk umat Islam di negeri ini.

Oleh itu katanya, melalui agensi seperti Majlis Islam Sarawak, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM1,000 untuk setiap masjid dan surau di seluruh negeri di Marudi.

Penguang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada masjid dan surau di daerah Marudi yang diadakan di Masjid As-Salam, Kampung Dagang di sini.

Penguang mengarapkan agar dana yang diterima itu dapat digunakan dan disalurkan dengan cara yang betul dan baik serta bermanfaat.

Ia boleh digunakan untuk menganjurkan program–program di masjid dan surau masing-masing terutama sekali dalam bulan Ramadan ini.

“Kita amat beruntung kerana berada di dalam negara dan negeri yang amat bertuah ini terutama negeri Sarawak.

“Walaupun mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa tetapi kita mampu hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Ini adalah hasil daripada kebijaksanaan kepimpinan yang mentadbir negeri ini dan sikap toleransi, hormat-menghormati serta bertolak-ansur antara masyarakat yang berbilang kaum,” katanya.

Penguang turut memuji sikap penduduk di Marudi yang mempunyai jalinan hubungan yang amat baik, yang mana umat Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam keadaan harmoni, di samping amalan budaya masing-masing.

Oleh itu, beliau mahu perkara seperti ini diteruskan agar kemakmuran dan kemajuan negeri akan terus mencapai kesinambungan.

Sementara itu, semalam beliau menyampaikan sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak untuk jawatankuasa masjid dan surau menjalankan aktiviti mereka.

Kesemua sumbangan berjumlah RM78,000 yang disampaikan kepada 10 masjid dan 13 surau di sini.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Baitulmal Bahagian Miri Marini Juraibi, Pegawai JAIS Bahagian Miri Ustaz Rafaiee Morshidi, Pengawai Tadbir Reagan Edwin dan Penghulu Ayub Hassan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim daripada Masjid As-Salam di sini.