Rundingan mengenai penurunan kuasa memasuki fasa kedua

0

KUCHING: Rundingan mengenai penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri memasuki fasa kedua dengan mesyuarat peringkat tertinggi pertama diadakan pada 13 Jun lalu.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dalam satu kenyataan media semalam.

Nancy memberitahu, kabinet persekutan telah melantik beliau dan Datuk Seri Anifah Aman untuk meneruskan rundingan fasa kedua penurunan kuasa atas hak-hak di bawah perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 bersama Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata mesyuarat yang dipengerusinya bersama Anifah turut dihadiri Peguam Negara daripada kerajaan persekutuan, wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri Sabah seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Peguam Negara Negeri Sabah serta wakil-wakil dari Sarawak terdiri daripada Timbalan Peguam Negara Negeri Sarawak dan Pengarah daripada Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.

“Mesyuarat peringkat tinggi pertama ini telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada wakil-wakil yang dicalonkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersama-sama wakil-rakil daripada kerajaan persekutan dan pakar–pakar sejarah daripada kedua-dua negeri.

“Mesyuarat itu turut bersetuju jawatankuasa itu akan mengenal pasti isu-isu ketidakpatuhan daripada konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan laporan atau dokumen bertulis lain seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, seterusnya mengemukakan cadangan serta penyelesaian untuk dipertimbangkan kepada kerajaan pusat,” jelasnya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata laporan pertama berdasarkan cadangan dan penyelesaian diharap sedia dikemukakan kepada kabinet persekutuan pada hujung tahun ini.

“Sekarang tiba masanya untuk kita menyampaikan aspirasi rakyat Sarawak. Ia tidak lagi hanya sekadar janji tetapi menunaikan janji Ketua Menteri kita (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem),” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nancy berkata pada 16 Mac 2014, hanya dua minggu selepas Adenan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima, beliau mengatakan: “Hubungan kita (Sarawak) dengan kerajaan persekutuan mesti betul dari segi perlembagaan.”

Perkara sama diperjuangkan oleh Nancy apabila pada 1 Januari 2016, beliau dengan lantang memuji usul dibentang kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 8 Disember 2015.

Usul itu meminta mandat kerajaan negeri melindungi hak-hak perlembagaan dan melindungi negeri Sarawak demi kepentingan semua rakyat negeri ini, jelasnya.

Tegasnya, usul itu merupakan salah satu langkah penting diperkenalkan bagi membolehkan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, tepat pada masanya dan meliputi aspirasi rakyat Sarawak bermula dari hari sebelum pembentukan Malaysia seperti ditetapkan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, IGC dan Perjanjian Malaysia 1963.