Syarikat korporat, NGO digalak bantu anak yatim dan asnaf

0

SANDAKAN: Syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini digalakkan menyumbang kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kolonel (K) Datuk Juhari Janan berkata, amalan itu haruslah dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

“NGO perlu berusaha membantu dalam menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf,” katanya.

Beliau percaya syarikat korporat dan NGO di luar sana sentiasa membantu dan menyampaikan sumbangan mereka apatah lagi pada bulan Ramadan ini.

“Di sinilah peranan NGO dan syarikat korporat diperlukan agar golongan anak yatim dan asnaf ini sentiasa dibantu dan dapat meringankan beban mereka terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Juhari berkata demikian semasa merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati dengan kerjasama pihak sekolah di sebuah restoran Bandar Labuk, Sandakan, petang kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Bahagian Sandakan Sh Mahada Sh Attar.

Beliau memuji langkah PIBG SK Merpati dan pihak sekolah dapat menganjurkan program seumpama ini.

“Program ini bukan sahaja merapatkan lagi hubungan silaturahim dan hubungan semasa kita tetapi meningkatkan amalan melalui bersedekah,” katanya.

Juhari juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya penyumbang dalam program ini.

“Semoga apa yang kita sumbangkan itu mendapat ganjaran dari Allah dan memberi manfaat kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan,” katanya.

Beliau mahu anak-anak yang menerima sumbangan terbabit menggunakan wang diterima bagi membeli barang berfaedah.

Juhari juga turut meminta anak-anak berkenaan agar belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang yang mereka minati.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SK Merpati Firdaus Abdullah @ Fringco berkata usaha ini adalah untuk membantu anak-anak yatim menjelang sambutan Aidilfitri.

“Walaupun sumbangan yang diterima jumlah kecil tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka,” katanya.