LIMBANG: Fenomena air sungai menjadi jernih, satu kejadian yang jarang berlaku di Limbang menimbulkan pelbagai persepsi dan tanda tanya dalam kalangan penduduk di sini.
Kejadian air sungai jernih sejak beberapa hari lalu turut menjadi perbincangan kalangan netizen melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Timbul juga dakwaan mengaitkan fenomena tersebut dengan tindakan pihak-pihak tertentu membuang klorin ke dalam air sungai.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah ketika ditanya mengenai perkara itu turut melihat fenomena air sungai Limbang yang bertukar jernih.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa laporan daripada hospital mengenai masalah keracunan atau ikan timbul dan fenomena itu tidak mendatangkan mudarat,” katanya di sini, semalam.
Hasbi menjelaskan, fenomena tersebut tidak menimbulkan masalah dan hanya bersifat sementara.
“Kita juga sudah tanya dengan agensi bahagian air dan sampel daripada air sungai juga sudah diambil untuk pemeriksaan,” katanya.