18 pemain skuad bola sepak SUKMA Sarawak dikenal pasti

0
KATA-KATA SEMANGAT: Fuad (kiri) berkata sesuatu kepada anak-anak buahnya selepas perlawanan persahabatan menentang Kuching malam Ahad lalu.

KATA-KATA SEMANGAT: Fuad (kiri) berkata sesuatu kepada anak-anak buahnya selepas perlawanan persahabatan menentang Kuching malam Ahad lalu.

KUCHING: Senarai 18 pemain skuad bola sepak SUKMA Sarawak dikenal pasti dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Penolong jurulatih skuad SUKMA Sarawak, Mohd Safri Amit berkata senarai terakhir itu dipilih daripada 30 pemain mengikuti perlawanan persahabatan menentang juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016, Kuching pada Ahad lalu yang berkesudahan skuadnya tewas 2-0.

“Saya tidak begitu bimbang dengan keputusan itu kerana sekadar perlawanan pemanas badan bertujuan memberi peluang kepada semua 30 pemain bayangan beraksi.

“Apa yang penting kita telah menemui senarai lengkap 18 pemain yang akan mewakili Sarawak nanti,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd Safri, kayu pengukur sebenar kemampuan anak-anak didiknya ialah pada dua perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan dan Melaka yang akan diadakan pada 8 dan 11 Julai depan.

Sebelum itu, skuad kendalian Fuad Grbesic juga akan diuji menentang skuad senior Sarawak pada 2 Julai depan.

“Saya akui banyak lagi yang perlu pemain-pemain pertingkatkan untuk memastikan Sarawak mampu memberi cabaran pada temasya SUKMA XVIII nanti.

“Paling utama dari aspek persefahaman kerana terdapat pemain-pemain baharu dalam skuad ini. Selain itu semua pemain perlu meningkatkan kecergasan dan mempertajam jentera penyudah,” katanya.

Menurut Mohd Safri, beliau dan Fuad akan melihat setiap kelemahan dan memikirkan strategi untuk memperbaikinya dalam masa terdekat.

Acara bola sepak akan berlangsung dari 19 hingga 30 Julai dan Sarawak diundi dalam Kumpulan C bersama Terengganu serta Wilayah Persekutuan.

Sementara Johor, Melaka, Selangor dan Perlis beraksi dalam Kumpulan A, manakala Kedah, Sabah dan Pahang bersaing dalam Kumpulan B.

Juara bertahan Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berentap dalam Kumpulan D.