Anggota RELA diingat pakai seragam ketika bertugas sahaja

0

SIBU: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diingatkan agar memakai pakaian seragam yang dibekalkan ketika dalam tugas rasmi sahaja.

Peringatan itu disuarakan oleh Pegawai RELA Daerah Sibu Leftenan Kolonel (RELA) Awis Adenan berikutan terdapat segelintir anggota didapati memakai pakaian tersebut ketika melakukan aktiviti harian.

Awis berkata, sikap segelintir anggota RELA menyalah guna pakaian seragam boleh menjejaskan imej RELA di mata masyarakat.

“Setiap anggota RELA perlu menghargai pakaian seragam yang dibekalkan dan memegang amanah tersebut dengan memakainya ketika dalam tugas rasmi sahaja, bukan aktiviti harian.

“Hal ini boleh menjejaskan imej RELA di mata masyarakat yang memberi kepercayaan tinggi sama seperti pihak berkuasa lain,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, amat penting memahami amanah itu kerana pakaian seragam dibekalkan kerajaan dan adalah hak awam.

Justeru, beliau menasihatI Ketua Pegawai RELA Kawasan (KPRK) dan ketua platun mengawasi perkara tersebut agar tidak berlarutan.

Awis berkata, tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap anggota RELA memakai pakaian seragam ketika bukan waktu bertugas.

“Jadi saya minta semua anggota dan pegawai RELA menghormati peraturan tersebut demi nama baik jabatan kita,” katanya.