Beri sokongan isteri Bill dapat kerakyatan: Fatimah

1

Kementerian akan bantu dengan beri sokongan kepada Hasyikin mendapatkan kerakyatan tetap

// Oleh Clare Cinderella //

BANTU: Fatimah (dua kanan) berbual dengan isteri Allahyarham Bill, Hasyikin (dua kiri) dan adik Allahyarham Davy Kayong semasa mengunjungi keluarganya di Miri semalam.

BANTU: Fatimah (dua kanan) berbual dengan isteri Allahyarham Bill, Hasyikin (dua kiri) dan adik Allahyarham Davy Kayong semasa mengunjungi keluarganya di Miri semalam.

MIRI: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat akan membantu dengan memberi sokongan kepada isteri Bill Kayong  mendapatkan kerakyatan tetap atau warganegara Malaysia.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya memberikan surat sokongan kepada isteri Bill iaitu Hasyikin Hatta dan meminta beliau mengemukakan permohonan sekali lagi.

“Kita boleh membantu dengan memberikan sokongan (surat) kepada beliau bagi mendapatkan kerakyatannya.

“Soal memberi surat sokongan adalah perkara biasa kami lakukan termasuk memberi sokongan untuk bantuan kebajikan, ke universiti, pendidikan dan sebagainya,” jelas beliau kepada pemberita di sini.

Petang semalam, Fatimah ketika menemui keluarga Bill atau Mohd Hasbie Abdullah di kediaman Allahyarham di Desa Senadin di sini, turut meminta isteri Allahyarham yang berasal dari Indonesia mengemukakan semula permohonan kerakyataan negara dan negeri ini.

Hasyikin memberitahu, beliau yang telah lama menetap di negeri ini iaitu sejak berkahwin dengan Allahyarham selama 21 tahun lalu, pernah mengemukakan permohonan untuk kerakyatan negeri dan negara ini namun ditolak kerana terdapat kelemahan pada dokumen yang dikemukakan.

Sementara itu, Fatimah dalam lawatannya bertemu isteri, anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham turut menawarkan bantuan khususnya berkaitan bidang kuasa kementeriannya sekiranya keluarga tersebut memerlukan.

“Kita tidak mengira bangsa dan agama dan fahaman politik. Mana-mana perlu dibantu kita bantu terutamanya soal kebajikan,” katanya sambil berharap isteri Allahyarham dapat membuat permohonan kerakyatan semula bagi memudahkan beliau mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun katanya, soal bantuan tiada masalah bagi anak-anaknya kerana mereka mempunyai kerakyatan negara ini.

Selain menyampaikan ucapan takziah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham, Fatimah serta Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail bersama-sama menghulurkan derma peribadi masing-masing kepada isteri Allahyarham.

“Saya berharap isteri dan anak-anak Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini dan reda dengan pemergiannya yang ditentukan oleh Allah,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana isteri dan dua anak Allahyarham berusia 18 dan 14 tahun mendapat sokongan daripada ahli keluarga Bill yang sentiasa berada di sisi menghulurkan bantuan dan sokongan.

“Saya berharap isteri beliau reda dan menerima ketentuan Allah kerana yakin ada rahmat di sebalik apa yang Allah tentukan ini dan pada bulan mulia ini kita berdoa Allahyarham tenang di alam barzakh dan ditempatkan Allah bersama orang yang beriman.

“Bagi isteri beliau, ia bukan sesuatu yang mudah sebagai seorang ibu tunggal, apatah lagi membesarkan dan menyekolahkan dua anaknya yang masih belajar tetapi saya percaya beliau mempunyai sokongan baik dan bagus terutama  sebelah suaminya dan saya dapat lihat dengan jelas kerana semua mereka berada di sini memberi sokongan kepada isteri dan anak-anaknya,” tambahnya.

Selain diiringi Dr Abdul Rahman, turut hadir mengiringi Fatimah ialah Pegawai Kebajikan Bahagian Miri Nurin Chunggat serta pegawai kementeriannya dan wanita-wanita PBB Miri.