Jangan kutuk program penyerahan sumbangan amal

0

Kebanyakan program diadakan golongan korporat, terpulang kepada mereka tentukan tempat adakan program

// Oleh Nick Fletcher //

BANTU: Hasidah menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Mohd Alfian (dua kanan) dan Masliza (tiga kanan).

BANTU: Hasidah menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Mohd Alfian (dua kanan) dan Masliza (tiga kanan).

KUCHING: Pihak yang tidak berkaitan tidak sewajarnya mengutuk program penyerahan sumbangan amal sempena Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di tempat-tempat ternama.

Menteri Muda Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ini kerana kebanyakan program seumpama itu adalah diadakan oleh golongan korporat.

Justeru, katanya terpulang kepada pihak terbabit untuk menentukan tempat bagi mengadakan program sedemikian sama ada di hotel atau sebagainya.

“Ada kalanya kita mendengar orang bercakap mengenai penyerahan bantuan yang dibuat di hotel…ini terpulang kepada orang yang memberi, mereka ikhlas dengan kapasiti masing-masing.

“Kita seharusnya bersyukur kerana ada orang yang mahu memberi, berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jalinan Kasih Almas di Kampung Sungai Midin di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Almas Mohd Alfian Yusop dan Ketua Pegawai Operasi Almas Masliza Ridzuan.

Justeru, Hasidah yang juga ADUN Samariang berharap agar golongan berkemampuan dan korporat terus menjalankan program amal tersebut pada masa akan datang kerana ia amat penting ke arah menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Terdahulu, Hasidah bersama Mohd Alfian dan Masliza telah menyerahkan sumbangan berupa barang dapur dan keperluan Hari Raya daripada Butik Almas kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Sungai Midin.

Menurut Mohd Alfian, sumbangan sedemikian merupakan program tahunan dan tanggungjawab sosial korporat Butik Almas pada setiap bulan Ramadan bagi meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

Justeru, katanya dalam Program Jalinan Kasih Almas semalam, Butik Almas telah mengagihkan sejumlah 10 sumbangan kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Bintawa Hilir selain di Kampung Sungai Midin.