Rumah diceroboh sejurus pemilik keluar

0

Mangsa sempat melihat dua kereta memecut laju selepas berpatah balik jumpa rakan

// Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang lelaki mengalami kerugian ribuan ringgit selepas hanya beberapa minit keluar untuk berjumpa dengan rakannya sebelum rumahnya dipecah masuk pencuri kelmarin.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu dikatakan dalam perjalanan menuju ke sebuah kedai kopi apabila menerima panggilan telefon daripada jirannya mengatakan rumahnya di Jalan Stutong Baru di sini, dipecah masuk.

Difahamkan, dia kemudian terus berpatah balik dan sempat melihat dua kereta jenis Alza dan Myvi memecut laju dari halaman rumahnya, namun tidak sempat mencatatkan nombor pendaftarannya.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek telah memasuki rumah mangsa melalui pintu hadapan yang telah diumpil. Antara yang dilaporkan hilang ialah jam tangan berjenama, koleksi barangan kemas dan seunit telefon pintar,” kata sumber.

Mangsa kemudian tampil melaporkan insiden tersebut di balai polis berhampiran.

Sementara dalam kejadian berasingan, dua lelaki ditahan kerana disyaki cuba mencuri besi tembaga di sebuah gudang di Jalan Bintawa di sini, petang kelmarin.

Menurut sumber, suspek terdahulu dilihat oleh pengawal keselamatan sekitar jam 5.30 petang selepas menemui dua buah motosoikal yang diletakkan tidak jauh dari gudang berkenaan.

“Pengawal keselamatan itu kemudian memeriksa ke dalam gudang berkenaan dan melihat dua lelaki tidak dikenali sedang memotong dan besi tembaga dari premis berkenaan.

“Mereka (pengawal) kemudian segera menghubungi pihak polis,” kata sumber.

Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran anggota pengawal keselamatan itu kemudian cuba melarikan diri dan hanya seorang sahaja berjaya ditahan anggota pengawal keselamatan dan diserahkan kepada polis.

“Seorang daripada suspek yang berjaya melarikan diri kemudian tampil menyerah diri di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Jalan Simpang Tiga, hari yang sama,” kata sumber.

Kedua-dua suspek ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut.