Uber perlu ikut peraturan

0

LPKP terima baik kehadiran sistem perkhidmatan di Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menerima baik kehadiran sistem perkhidmatan teksi Uber di sini, tetapi ia mestilah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Pengerusi LPKP Datuk Raimi Unggi berkata, semua kenderaan awam di Sabah mempunyai permitnya sendiri dan sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan tanpa mematuhi sebarang peraturan, ia tidak akan dibenarkan.

“Sekiranya ingin memulakan perniagaan di sini perlu patuhi peraturan LPKP…mereka tidak boleh sesuka hati menaikkan dan menurunkan kadar tambang.

“Kita berpendapat dalam keadaan sekarang kita menuju ke arah kemajuan dan tidak dinafikan kita menerima kemajuan itu dan penambahbaikan.

“Uber dilakukan menerusi satu aplikasi pemasaran dan secara tiba-tiba mereka masuk ke sini ‘memotong jalan’ tanpa mengikut peraturan sedia ada,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata sekiranya mereka dibenarkan berleluasa di sini, maka apa terjadi kepada nasib pemandu teksi sedia ada. Kehadiran mereka perlulah mengikut peraturan sedia ada.

“Mesti memikirkan nasib pemandu teksi…apakah akan terjadi kepada mereka yang selalu menunggu penumpang di kaki lima?

“Tidak dinafikan rakyat mempunyai pilihan untuk memilih tetapi pilihlah berlandaskan undang-undang kita,” katanya.

Raime yang juga Ahli Parlimen Tenom menegaskan sekiranya perkhidmatan teksi Uber mengambil alih tugas dari teksi maka tidak perlulah mewujudkan LPKP.

Katanya, sistem yang sedia ada memerlukan permit operasi yang dibayar sebanyak RM150 setiap lima tahun sepertimana amalan teksi sedia ada.

“Sistem Uber berasal dari luar negara dan mereka mesti mematuhi peraturan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia sekiranya ingin beroperasi di sini.

“Ini sesuatu yang tidak sihat dan saya menerima aduan yang banyak dari pengusaha teksi…saya kasihan dengan pemandu teksi yang susah mendapatkan satu atau dua pelanggan sehari.

“Bayangkan apabila Uber ini masuk di sini dan pemandu teksi tidak mendapat sebarang penumpang, ini sudah pasti memudaratkan pemandu teksi,” katanya.

Menurutnya penguatkuasaan perkara itu akan dilakukan dan tindakan lanjut akan dikenakan tetapi LPKP perlu bukti yang kukuh kerana ia melibatkan undang-undang.

Baru-baru ini, LPKP mengharamkan perkhidmatan teksi Uber di Sabah selepas memutuskan perkhidmatan yang diberikan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Raime turut melabelkan perkhidmatan itu seumpama kereta sapu yang berada di mana-mana sahaja untuk mengambil dan menghantar penumpang dengan mengenakan caj bayaran tambang yang lebih murah berbanding perkhidmatan teksi sedia ada.

Katanya, kerajaan perlu bertindak sama rata terhadap semua pihak termasuk pengusaha teksi sedia ada. Perkhidmatan teksi Uber tidak didaftarkan seperti mana teksi sedia ada, oleh itu perkhidmatan Uber adalah haram.