Abang maut, adik cedera kemalangan

0

Mangsa terpelanting selepas motosikal ditunggangi merempuh belakang kereta

// Oleh Jeremy Lanson //

MAUT: Mangsa semasa tiba di HUS sebelum disahkan meninggal dunia.

MAUT: Mangsa semasa tiba di HUS sebelum disahkan meninggal dunia.

KUCHING: Seorang lelaki terbunuh manakala adiknya mengalami kecederaan ringan selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Astana, Petra Jaya semalam.

Mangsa yang maut ialah Mohd Zamri Mostapha, 22, berasal dari Kampung Tanjung, Petra Jaya.

Menurut sumber, kemalangan berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika adik-beradik berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya gagal mengawal motosikal lalu merempuh belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan si abang yang membonceng motosikal berkenaan tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva,” kata sumber.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut kemudian segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala adik mangsa, 19, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” kata sumber.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, seorang tukang kayu masih dalam keadaan koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya semalam.

Menurut sumber, mangsa, 31, yang bekerja di Jalan Batu Lintang, di sini semasa kejadian membonceng motosikal yang ditunggangi rakannya sekitar jam 7 pagi di Asajaya.

“Mereka (mangsa) bertolak dari Kuching menuju ke Kampung Meludam semasa kemalangan berlaku di mana kedua-dua mereka tercampak kira-kira 20 kaki ke bawah jambatan,” kata sumber

Difahamkan, mereka telah dibantu orang awam sebelum dikejarkan ke klinik berdekatan dan kemudian dirujuk ke HUS.