Sarawak hampir pasti tambat Teah

0

David berpuas hati dengan prestasi tonggak dari Liberia itu dalam dua aksi persahabatan

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Tonggak pertahanan kebangsaan Liberia, Teah Dennis hampir pasti menjadi pemain import Sarawak yang baharu dalam masa terdekat.

Pengendali sementara skuad itu David Usop berkata beliau berpuas hati dengan persembahan Teah selepas diuji dalam dua aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan pada 25 Jun lepas dan Kuala Lumpur kelmarin.

“Teah mempunyai kualiti pemain yang kita perlukan, beliau memiliki ketinggian dan berpengalaman luas.

“Lebih menarik perhatian beliau memiliki kepantasan dan ia memang amat kita perlukan bagi memperkuatkan lagi barisan pertahanan Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

David bagaimanapun tetap dengan pendirian tidak akan terburu-buru mengikat Teah, 24, sebaliknya mahu terus menguji pemain itu dengan lebih kerap untuk melihat kemampuan sebenar beliau.

Menurutnya lagi, beberapa lagi pemain baharu dijangka tiba dalam masa terdekat untuk mencuba nasib mencabar Teah bagi jawatan tersebut.

“Apapun untuk tempoh ini Teah berada dalam senarai utama kita. Jika ada pemain baharu datang kita juga akan menguji mereka,” ujar David.

Sarawak sedang mencari pemain pertahanan baharu bagi menggantikan Davide Grassi yang dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada awal bulan ini.

Dalam pada itu, David turut melahirkan rasa puas hati dengan aksi anak-anak buahnya dalam dua perlawanan persahabatan yang berakhir kelmarin di mana Sarawak berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dan seri 2-2 dengan Kuala Lumpur.

“Pemain telah mula menunjukkan persefahaman dengan baik terutama di jentera serangan.

Cuma kecergasan yang masih perlu ditingkatkan kerana mereka berehat terlalu lama dan memerlukan sedikit masa untuk kembali pada prestasi terbaik,” katanya.

Sarawak dalam persiapan intensif untuk menghadapi gelombang kedua kempen Liga Malaysia 2016 yang akan bersambung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Skuad itu akan menempuh tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari iaitu menentang Kedah (13 Julai) dan T-Team (19 Julai) dalam aksi Piala Malaysia termasuk berdepan Pahang pada 16 Julai dengan semua perlawanan akan berlangsung di gelanggang lawan.

Sebelumnya, Sarawak akan menguji skuad SUKMA XVIII pada Ahad ini (3 Julai) di Stadium Negeri bermula jam 9.30 malam.