Skuad gimnastik artistik Sarawak mula jalani latihan

0
BAHARU: Chai (enam kanan) menyerahkan dokumen kepada Kameri sebagai simbolik penyerahan peralatan gimnastik bersama pegawai Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), wakil KBSS, Persatuan Gimnastik Amatur Sarawak, jurulatih dan gimnas di Stadium Tertutup. — Gambar Teo Chi We

BAHARU: Chai (enam kanan) menyerahkan dokumen kepada Kameri sebagai simbolik penyerahan peralatan gimnastik bersama pegawai Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), wakil KBSS, Persatuan Gimnastik Amatur Sarawak, jurulatih dan gimnas di Stadium Tertutup. — Gambar Teo Chi We

KUCHING: Skuad gimnastik artistik Sarawak menjalani latihan bermula kelmarin di venue kejohanan SUKMA XVIII, Stadium Tertutup Sarawak selepas peralatan siap dipasang sepenuhnya pada Isnin lepas.

Peralan yang dibekalkan oleh syarikat ACROMAT bagi menganjur acara berkenaan dari 28 hingga 30 Julai depan telah diserahkan oleh wakil syarikat, Chai Poh Fatt kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS), Kameri Affandi kelmarin.

Ketua Jurulatih Bogomil Ivanov Momchilova berkata gimnas Sarawak akan menjalani latihan di sana bagi menyesuaikan diri dengan peralatan baharu dan keadaan latihan hingga 3 Julai depan.

“Sebelum ini, gimnas menjalani latihan di Stadium Gimnastik Sarawak di mana peralatan yang digunakan sudah terlalu lama serta tiada penyaman udara.

“Di Stadium Tertutup, mereka akan menjalani latihan dalam suasana berbeza kerana selain dilengkapi dengan penyaman udara, gimnas juga berlatih menggunakan peralatan baharu,” jelas jurulatih dari Bulgaria itu.

Peralatan ACROMAT adalah jenama bertaraf dunia yang pernah digunakan semasa penganjuran Sukan Olimpik Sydney 2010.

Untuk edisi kali ini, Sarawak mempertaruhkan enam atlet perempuan dan dua lelaki diketuai oleh Esmelda Arecia Menti Alfred dan Nur Amira Idayah.

Atlet lain Audrey Jude Rendih, Cassandra Lavigne dan Dewi Nisrina manakala atlet lelaki Ally Hamuda dan Fareez Aiman.

Skuad gimnastik artistik Sarawak menyasarkan satu pingat emas pada SUKMA kali ini.