Tiada kompromi

0

Polis akan bertindak tegas terhadap pesalah trafik sepanjang Ops Selamat sempena Aidilfitri

UNTUK KESELAMATAN: Mazlan memakaikan topi keledar lebih selamat kepada penunggang motosikal pada pelancaran Ops Selamat sempena Aidilfitri di Kota Samarahan, semalam.

UNTUK KESELAMATAN: Mazlan memakaikan topi keledar lebih selamat kepada penunggang motosikal pada pelancaran Ops Selamat sempena Aidilfitri di Kota Samarahan, semalam.

// Oleh Jeremy Lanson //

KOTA SAMARAHAN: Polis tidak lagi berkompromi sebaliknya bertindak tegas terhadap pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya sepanjang pelaksanaan Ops Selamat yang bermula semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menjalankan operasi terutama di 60 ‘kawasan panas’ seluruh negeri.

Menurutnya, pihaknya akan memasang perangkap laju di beberapa lokasi selain menjalankan pemantauan di setiap persimpangan lampu isyarat dan laluan kecemasan.

“Sepanjang Ops Selamat kali ini, kita akan buat ‘speed trap’ (perangkap laju) di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti dan sekiranya ‘ditangkap,’ maka kita akan terus menahan mereka (pesalah) untuk diambil tindakan.

“Selain itu, kita dapati kini lampu isyarat semakin tidak diendah dan saya menasihatkan agar berhenti berbuat demikian kerana kita ada pasukan khas (JSPT) yang akan memantau dan membuat intipan.

“Begitu juga dengan laluan kecemasan, dinasihatkan agar tidak menggunakan laluan ini untuk memudahkan pergerakan kenderaan anggota keselamatan jika terdapat kecemasan,” ujarnya di sini, semalam.

Mazlan yang sebelum itu melancarkan Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di pusat beli-belah The Summer turut memberitahu, statistik kadar kemalangan jalan raya untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan 7.4 peratus.

“Statistik bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas menunjukkan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 7.4 peratus, di mana kemalangan maut meningkat kepada 191 kes tahun ini daripada 175 kes tahun lepas.

“Kita amat khuatir sekiranya statistik meningkat saban tahun. Justeru, kita sering menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan biar lambat asal selamat,” katanya.

Mazlan turut mengingatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada mana-mana balai polis terdekat jika meninggalkan rumah untuk tempoh lama.

“Kebanyakan kes pecah rumah disebabkan kealpaan sendiri yang mengabaikan aspek keselamatan dan ingin diingatkan polis hanya melakukan pencegahan jenayah dan tanggungjawab menjaga harta benda adalah terletak pada diri kita.

“Bagaimanapun, kita mohon orang ramai yang ada meninggalkan rumah dalam tempoh lama agar memaklumkan kepada pihak polis supaya rondaan lebih kerap dilakukan di kawasan-kawasan rumah mereka,” katanya.

Ops Selamat yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu akan berlangsung hingga 13 Julai dengan kekuatan tugasan separuh keanggotaan polis di seluruh Sarawak.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yussof, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sarawak Davina Agnes.