Anggota LSS diseru terus laksana tugas pastikan keselamatan sungai di Sarawak
// Oleh Reno Benjamin //
SIBU: Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan Liwang Lagang tidak mahu kemalangan sungai yang melibatkan bot ekspres di Tatau pada tahun 2010 dan di Belaga pada tahun 2013 berulang lagi.
Menurut beliau, meskipun kejadian kemalangan sungai yang melibatkan bot berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) amat kecil jika dibandingkan dengan kemalangan jalan raya, namun kemalangan sungai menarik minat orang ramai dan media masa bila ia terjadi.
“Saya ingin kita meletakkan matlamat yang harus kita capai iaitu kemalangan sifar.
“Dengan peluang ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada LSS kerana telah menjalankan tugas yang amat baik pada perayaan Gawai Dayak lalu di mana kita telah mencapai peratusan kemalangan sifar,” ujarnya.
Liwan berkata demikian ketika berucap melancarkan Operasi Penguatkuasaan Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2016 di Dataran Bandar Sibu, petang semalam.
Hadir sama Pengerusi LSS Murni Suhaili, Kontroller LSS William Jinep, Penolong Kontroller LSS Wilayah II Christopher Chan, Pegawai Penguat Kuasa LSS Zehegkiel Piree serta yang lain.
Menurut Liwan, pengangkutan sungai merupakan salah satu mod pengangkutan amat penting di Sarawak yang menghubungkan kawasan pedalaman dan bandar dengan membawa muatan manusia serta barang-barang keperluan harian.
Oleh yang demikian, katanya, kerajaan negeri amat menitik berat kepentingan pengangkutan sungai di negeri ini dan ini terbukti dengan penubuhan LSS pada tahun 1993 dan Kementerian Pengangkutan Sungai dan Keselamatan.
“Selaku menteri yang menjaga kementerian ini dan bertanggungjawab terhadap pengangkutan sungai dan keselamatan di Sarawak, saya merayu agar pihak LSS selaku agensi bertanggungjawab secara langsung akan terus memberi komitmen tinggi dalam memastikan pengangkutan sungai di negeri ini sentiasa terjamin keselamatannya.
“Saya merayu anggota-anggota penguat kuasa selaku nadi dan tulang belakang LSS agar menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi.