Sarawak buru kejuaraan keempat

0

Sasaran 72 pingat emas suntikan semangat buat atlet pada temasya SUKMA XVIII

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

BERSEMANGAT: Manyin bersama Abdul Karim, Morshidi dan Dr Ong menunjukkan isyarat bagus pada sesi memperkenal pakaian rasmi Kontinjen SUKMA Sarawak di Kuching semalam.

BERSEMANGAT: Manyin bersama Abdul Karim, Morshidi dan Dr Ong menunjukkan isyarat bagus pada sesi memperkenal pakaian rasmi Kontinjen SUKMA Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak bakal turun dengan misi memburu kejuaraan kali keempat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-18 Sarawak 2016 yang akan menyingkap saingan pada 22 Julai ini.

Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Micheal Manyin Jawong berkata sasaran mengutip 72 pingat emas pada edisi kali ini menjadi suntikan semangat kepada atlet-atlet kontinjen Sarawak.

“Kita akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan SUKMA XVIII menjadi milik Sarawak sekali gus mengulangi kejayaan pada 1990, 1992 dan 1994,” katanya.

Manyin berkata demikian ketika berucap sempena Program ‘Meet and Greet’ Bersama Atlet SUKMA Sarawak di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini semalam.

Juara tiga kali itu kini menanti saat perasmian temasya tersebut dan terus mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Manyin mahu penantian selama 22 tahun sejak menjuarai SUKMA 1994 membuahkan hasil terutamanya menjadi tuan rumah bagi penganjuran edisi ke-18 ini.

Sementara itu, beliau turut menggesa semua atlet supaya menanamkan matlamat tinggi ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ untuk mencapai sasaran pingat emas.

“Kita berharap semua atlet akan memperolehi pingat yang disasarkan justeru itu persiapan rapi penting dari segi aspek fizikal dan mental,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Ghani, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti, Kameri Affendi.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui mengingatkan semua atlet agar tidak terlibat dalam isu penyalahgunaan bahan terlarang.

“Isu doping amat ditekankan kepada mereka (atlet dan jurulatih) kerana kita tidak mahu berdepan masalah selepas menang dalam acara yang dipertandingkan,” katanya yang juga ‘Chef De Mission’ Kontinjen SUKMA Sarawak.