Sentiasa dipupuk

0
TERBAIK: (Dari lapan kiri) Lee, Selvaraj, Ting (enam kiri), serta yang lain menunjukkan tanda bagus selepas majlis perasmian dan upacara penyembahan di kuil Hindu pertama di Miri, semalam.

TERBAIK: (Dari lapan kiri) Lee, Selvaraj, Ting (enam kiri), serta yang lain menunjukkan tanda bagus selepas majlis perasmian dan upacara penyembahan di kuil Hindu pertama di Miri, semalam.

UNIK: Antara upacara penyembahan yang diadakan.

UNIK: Antara upacara penyembahan yang diadakan.

Rakyat Sarawak mengamalkan toleransi tinggi dalam aspek kebebasan agama: Lee

MIRI: Toleransi agama bukan perkara baharu di Sarawak, malah sentiasa diamalkan rakyatnya.

Inisiatif Hwa Kwang Shi Temple di sini mengalu-alukan lebih 20 sami Hindu dengan menyediakan penginapan percuma di hostel kuil terbabit adalah bukti jelas toleransi tinggi dalam aspek agama di negeri ini.

Malah, kuil Cina itu turut menyumbang minuman air mineral bagi majlis perasmian dan upacara penyembahan kuil pertama Pertubuhan Ugama Hindu Miri (MHS), Sri Kamini Thurga Iswari Amman Alayam di sini, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin. Turut hadir ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Ketua Jabatan Imigresen Bahagian Miri Roy G Fender dan Pengerusi MHS Selvaraj Grapragasem.

Lee dalam ucapannya berkata, kuil Hindu pertama di Miri dan terbesar di Sarawak itu antara lambang keharmonian serta kebebasan agama di negeri ini.

“Perkara menarik mengenai kuil Hindu ini ialah ia berhadapan kuil Cina Hwa Kwang Shi. Ini melambang betapa amalan toleransi kita di sini bukan sesuatu yang baharu tetapi sememangnya sentiasa berlaku di kalangan kita.

“Bahkan, Hwa Kwang Shi Temple juga dengan tangan terbuka mengalu-alukan kedatangan sami terlibat dalam majlis ini dengan menyediakan tempat tinggal percuma di hostel.

“Ini antara lambang keharmonian, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain meskipun berlainan agama yang amat unik menjadi amalan kita di sini,” jelasnya.

Menurut Lee, keunikan keharmonian tersebut seharusnya dijadi contoh bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Projek kuil Hindu terbabit yang terletak di Taman Tunku itu mula dilaksanakan pada April 2015 dan siap sepenuhnya pada penghujung Jun lalu.

Ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penganut Hindu di Miri.

Jelas Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, MHS berbincang mengenai projek itu bersamanya bagi memohon tanah untuk pelaksanaan kuil berkenaan lima tahun lalu.

Lee kemudiannya memohon tanah dengan Jabatan Tanah dan Survei dan telah dilulus kerajaan negeri tiga tahun lalu.

“Dan hari ini (semalam), kita sudah menyaksikan perasmiannya akan memberi manfaat kepada masyarakat Hindu di sini untuk aktiviti keagamaan mereka.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga telah meluluskan peruntukan RM200,000 bagi pelaksanaan projek ini tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, pembinaan kuil tersebut turut menunjukkan keprihatinan dan kebajikan kaum minoriti amat diambil kira di negeri ini selain kebebasan mengamal budaya serta agama masing-masing.