Mahu siasatan rapi

0

Keluarga percaya kematian tukang jahit dan dua anaknya bukan kerana kesempitan hidup

TRAGIS: Sanak saudara yang hadir di rumah yang didiami tiga beranak tersebut.

TRAGIS: Sanak saudara yang hadir di rumah yang didiami tiga beranak tersebut.

// Oleh Jeremy Lanson //

KOTA SAMARAHAN: Dengan upah menjahit pakaianlah dia menampung hidup mereka tiga beranak, malah sempat menjahit baju baharu termasuk untuk keluarga angkatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dia juga tidak pernah mengadu mengalami masalah kewangan, justeru sebab itulah ahli keluarga Rohana Mohamad, 37, percaya kematiannya malam kelmarin bukan kerana kesempitan hidup.

Rohana ditemui mati di sebuah rumah di Kampung Baru di sini bersama dua anak lelakinya iaitu Adam Hadiman Noorahman, 7, dan Mohamad Ikmal Danish Noorahman, 4.

Johari Bujang, 38, abang angkat kepada Rohana ketika ditemui pemberita memberitahu keluarganya mahu pihak polis menjalankan siasatan terperinci apatah lagi Rohana yang mengambil upah menjahit pakaian sebelum ini tidak pernah mengadu masalah terutama berkaitan kewangan kepada mereka.

Selain itu, katanya, Rohana seorang yang ceria, berdikari dan amat menyayangi anak-anaknya.

“Dia (Rohana) sangat sayangkan anak-anaknya, sedangkan kami yang kadang-kadang hanya menegur sedikit anaknya turut dimarahinya juga.

“Bercakap mengenai kesempitan hidup, kami sekeluarga tidak berasakan itu sebab dia bertindak sedemikian kerana kami kenal siapa dia. Malah, selama ini dia juga mengambil upah menjahit pakaian untuk menampung kehidupan mereka,” katanya.

Tambahnya, selain menemui wang tunai kira-kira RM600, mereka turut menemui dua telefon bimbit yang masih dalam simpanan mangsa.

CERITA: Johari semasa ditemui pemberita di rumah mangsa semalam.

CERITA: Johari semasa ditemui pemberita di rumah mangsa semalam.

“Duit dan dokumen peribadinya semua masih ada, cuma yang menghairankan kami ialah kedua-dua telefon bimbitnya tidak mempunyai kad SIM dan sehingga kini masih belum ditemui,” katanya.

Rohana yang dalam proses perceraian dengan suaminya ditemui mati pada malam Selasa lepas dalam keadaan tergantung di bilik mandi selepas dipercayai memaksa kedua-dua anaknya meminum cecair peluntur sehingga mengakibatkan kematian.

“Dia (Rohana) nekad tidak lagi mahu menerima suaminya selepas dua kali diberikan peluang untuk mengubah sikap dan selama setahun lebih mereka berpisah hanya ada beberapa kali suaminya datang ke sini menjenguk mereka.

“Sebelum ini dia juga pernah mengadu suaminya tiada memberi belanja kepada mereka sejak kira-kira tujuh bulan lepas,” jelas Johari. Suami Rohana berasal dari Saratok dan bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, Johari turut memberitahu mereka menemui nota yang diletakkan di hadapan pintu rumah berkenaan memberitahu dia (Rohana) bersama anak-anaknya tidak berada di rumah kerana bermalam di rumah rakan.

“Bagaimanapun, telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi menyebabkan adik saya yang mencurigai sesuatu telah meminta anaknya untuk memanjat masuk ke dalam rumah dan membuka pintu rumah tersebut yang berkunci dari dalam.

“Ketika itu jugalah mereka menemui dia dalam keadaan tergantung di dalam bilik mandi, sebelum menemui kedua-dua anaknya di dalam bilik tidur,” katanya lagi.

Bapa angkat mangsa yang ditemui pemberita di Hospital Umum Sarawak (HUS) memberitahu mangsa merupakan seorang anak yang baik dan sebelum Hari Raya Aidilfitri telah menyediakan pakaian baharu kepada mereka sekeluarga.

“Dia tukang jahit, selain menyediakan pakaian untuk anak-anaknya, dia turut menjahit baju raya untuk adik-beradiknya yang lain,” katanya yang tidak lagi dapat menahan sebak selepas itu.

Ketua Polis Daerah DSP Lee Chong Chern yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita mati dengan cara menggantung diri di dalam bilik mandi rumah tersebut dan turut ditemui ialah botol ‘Clorox’ (cecair peluntur) yang terbuka disyaki digunakan untuk membunuh kanak-kanak terbabit.

“Semasa ditemui, kanak-kanak terbabit dalam keadaan mulut berwarna hitam dan seorang yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

PERIKSA: Pegawai kesihatan memeriksa keadaan kanak-kanak terbabit yang dihantar ke HUS lewat malam kelmarin.

PERIKSA: Pegawai kesihatan memeriksa keadaan kanak-kanak terbabit yang dihantar ke HUS lewat malam kelmarin.