Anjur program pupuk perpaduan

0

Didik rakyat bina negara bangsa dan jati diri, capai aspirasi negara: Len

// Oleh Kepu Sidi //

BINTANGOR: Penganjuran program menghimpun dan melibatkan semua peringkat mampu  memupuk serta menyubur semangat perpaduan kaum di samping mempelajari kebudayaan, agama dan kepercayaan kaum.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan merangkap Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah ini antara usaha pendidikan berterusan boleh dimanfaat dalam proses pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.

“Ini amat penting dan bersesuaian kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  melaksana transformasi ekonomi, perkhidmatan awam, kedudukkan sosial, teknologi maklumat, kebudayaan dan sebagainya.

“Melalui program seumpama ini juga, ia  merupakan manifestasi komitmen, hubungan mesra dan mengeratkan kerjasama terjalin demi merealisasikan aspirasi serta wawasan negara melalui kerjasama dengan pelbagai peringkat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, kelmarin.

Majlis Apresiasi 1 Malaysia merupakan satu program yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Meradong.

Majlis ini menghimpun beberapa program peringkat sekolah iaitu sambutan Hari Guru,  Hari Gawai,  Hari Raya Aidilfitri, Hari Kemerdekaan Sarawak dan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Objektif ialah untuk menghargai jasa dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa, di samping mengeratkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang menjadi tonggak harapan khususnya bagi anak jati Sarawak.

Menurut Len, penganjuran majlis seumpama ini juga menjadi simbol perpaduan yang diimplementasi melalui sambutan perayaan, sambutan kemerdekaan dan persembahan kebudayaan.

Katanya, melalui program ini, ia akan memberi peluang kepada masyarakat berbincang, bermesyuarat, memberikan pandangan, pendapat dan pertimbangan positif berhubung isu tertentu supaya tahu menilai sebaiknya.

“Peningkatan orang dalam memberi pandangan dan pendapat boleh mengelakkan kita membuat kesilapan dan keputusan kita ambil adalah untuk faedah masyarakat.

“Bagi saya, ini asatu usaha  sangat baik bagi membantu rakyat, memberi pandangan, pendapat dan keputusan dengan mengambil kira pandangan serta pendapat rakyat setempat,” kata Len.

Tambah Len lagi, majlis seperti ini wajar diadakan agar semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat berganding bahu, seia dan sekata dalam usaha melahirkan modal insan iaitu aspirasi murni negara melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam masa sama, program ini turut dianjur bagi membuka mata masyarakat mengenai  kewujudan SMK Meradong bukan hanya sebagai institusi pendidikan arus perdana, pusat tingkatan enam malah sekolah ini adalah satu-satunya sekolah menengah di daerah ini yang menawarkan Pendidikan Asas Vokasional (PAV).

Ia juga turut sebagai pemangkin semangat kerjasama dan bersatu hati dalam kalangan warga sekolah dan pelbagai pihak atau lapisan masyarakat bagi merealisasi impian dan harapan sekolah demi kemenjadian anak bangsa.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ding Kuong Hiing,  Yang Dipertua (YDP) SMK Meradong Johari Abdullah, Pengetua SMK Meradong Vincent Liong Shou Chuan,  Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Ismail Abang Mahamud serta sekitar 800 warga sekolah SMK Meradong.