Gurauan bawa padah

0

Oleh Jeremy Lanson//

B16072224

DIPERIKSA: Kotak dan bagasi yang didakwa berisi ‘bom’ disahkan hanya mengandungi kek lapis dan ikan terubuk masin.

DIPERIKSA: Kotak dan bagasi yang didakwa berisi ‘bom’ disahkan hanya mengandungi kek lapis dan ikan terubuk masin.

KUCHING: Seorang anggota tentera ditahan polis selepas mendakwa membawa ‘bom’ di dalam kotak berisi kek lapis dan ikan terubuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, insiden berlaku pada jam 10.15 pagi apabila suspek yang berusia 25 tahun mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan dari Kuching ke Kota Baharu, Kelantan.

Menurutnya, suspek semasa ditanya kakitangan syarikat penerbangan yang bertugas mengenai kandungan kotak yang dibawa menjawab terdapat ‘bom’ di dalamnya dan mendakwa ingin meletupkan pesawat.

“Sebaik sahaja laporan diterima, kita terus menghantar Unit Pemusnah Bom ke lokasi dan apabila diperiksa, kotak tersebut didapati hanya berisi kek lapis dan ikan terubuk masin.

“Selain itu, kita juga mengarahkannya (suspek) untuk membuka sendiri barang-barangnya secara terperinci bagi memastikan tiada bom di dalam kelima-lima bagasi dan kotak yang dibawanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, semalam.

Abang Ahmad berkata, pihaknya amat memandang serius perkara seumpama itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikannya sebagai satu gurauan.

“Untuk kes ini, suspek akan direman esok (hari ini) dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegusaran dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Ini adalah kes pertama seumpama ini pada tahun ini dan diharapkan tiada lagi kes sebegini selepas ini kerana ia amat sensitif dan kita juga tidak akan berkompromi,” tegasnya.

Abang Ahmad selain itu turut memberitahu beberapa penerbangan terpaksa ditangguh semalam disebabkan gurauan suspek sebelum keadaan disahkan selamat pada jam 12.30 tengah hari.

“Kita difahamkan, suspek yang merupakan warga tempatan pulang untuk bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dan sepatutnya menaiki penerbangan tadi (semalam) kerana dijadual akan bekerja semula esok (hari ini).

“Manakala isteri dan anaknya sudah menaiki penerbangan semalam,” katanya.