MOSAR selamatkan dua pendaki warga British alami kecederaan

0
TERLATIH: Anggota MOSAR membawa mangsa turun dari Kilometer 5.5 sebelum dipindahkan ke usungan.

TERLATIH: Anggota MOSAR membawa mangsa turun dari Kilometer 5.5 sebelum dipindahkan ke usungan.

RANAU: Seorang pendaki wanita yang juga guru pengiring warga British serta seorang pelajarnya berjaya diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Kinabalu, pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Jimmy Lagung berkata mangsa yang dikenali Ruth Thomson, 51, adalah guru pengiring kepada 13 kumpulan pendaki dari England yang mengalami kecederaan pada bahagian tendon lutut dan buku lali.

Katanya seorang lagi mangsa warga British iaitu Jack Reid, 17, yang cedera di bahagian lutut kanan dan tidak dapat berjalan serta membengkokkan kaki turut dibantu pasukan MOSAR dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu.

“Kita menerima panggilan pada jam 11.20 pagi dan pasukan MOSAR segera bergerak ke lokasi kejadian 10 minit kemudiannya sebelum sampai pada jam 11.45 pagi.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan pada tendon lutut dan cedera di bahagian buku lali semasa berada di Kilometer 5.5 berhampiran Pondok Paka dan di Kilometer 4 berdekatan Stesen Layang-Layang.

“Kecederaan itu menyebabkan mangsa tidak dapat meneruskan perjalanan turun ke Laban Rata,” katanya.

Jimmy berkata pasukan MOSAR memberikan rawatan awal sebelum mengangkat mangsa turun sehingga ke Kilometer 5 berikutan ketiadaan peralatan menyelamat di lokasi kejadian.

“Pasukan MOSAR membawa mangsa sehingga ke Kilometer 5 sebelum dipindahkan ke dalam usungan untuk dibawa turun.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan EMRS bomba yang sudah menunggu di Pondok Timpohon, sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata operasi disertai seramai tiga anggota dengan dibantu tiga anggota Renjer Taman dan malim gunung. Operasi keseluruhan tamat jam 2.30 petang.