Polis ditemui mati dengan kesan tembakan di dada

0
MAUT: Anggota polis membawa mayat seorang anggota polis yang mati tertembak selepas berlaku pergelutan dengan isterinya di sebuah rumah di Cyber City semalam. — Gambar Bernama

MAUT: Anggota polis membawa mayat seorang anggota polis yang mati tertembak selepas berlaku pergelutan dengan isterinya di sebuah rumah di Cyber City semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis lelaki berpangkat koperal dijumpai mati di sebuah apartmen di Cyber City, di sini dengan kesan tembakan di dada pagi semalam.

Mayat anggota polis berusia 31 tahun yang berasal dari Johor itu dijumpai terbaring di ruang tamu apartmen berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai bunyi tembakan di situ pada jam 9.40 pagi.

“Sebaik tiba, polis mendapati mayat lelaki yang terbaring itu ialah anggota polis berusia 31 tahun dan terdapat kesan tembakan di dada,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Salehhudin siasatan awal mendapati punca kejadian mungkin pergaduhan antara suami isteri berikutan masalah keluarga.

Mengikut maklumat awal, katanya, berlaku pergelutan antara suami isteri berkenaan dan mangsa mungkin tertembak ketika pergelutan itu berlaku.

Salehhudin berkata sepucuk pistol jenis ‘steyr’ dijumpai di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Isteri mangsa, seorang suri rumah sepenuh masa, akan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Anggota polis itu mempunyai dua anak, masing-masing perempuan berumur lima tahun dan lelaki berusia tiga tahun yang kedua-duanya dikatakan berada di rumah ketika kejadian. — Bernama